Social Icons

PERJANJIAN TEMENGGONG ABD. RAHMAN-STAMFORD RAFFLES MENGENAI SINGAPURA



Tarikh Peristiwa : 30-01-1819 


Pada hari ini dalam tahun 1819, satu perjanjian ditandatangani di antara Dato' Temenggong Sri Maharaja Abdul Rahman, pemerintah Singapura bagi pihak dirinya dan bagi pihak Sri Sultan Husin Mohamad Shah, Raja bagi negeri Johor dan Sir Thomas Stamford Raffles, Lt. Gabenor Bangkahulu (Bencoolen) dan jajahan takluknya bagi pihak Gabenor Jeneral Benggala.Di antara isi-isi perjanjian ialah:-
  • Artikel 1 -       Syarikat Hindia Timur Inggeris boleh mendirikan kilang (logi) di Singapura atau tempat-tempat lain dalam wilayah Kerajaan Johor - Singapura.
  • Artikel 11-      Sehubungan dengan itu Syarikat Hindia Timur Inggeris bersetuju untuk melindungi Dato' Temenggong Sri Maharaja.
  • Artikel 111-    Syarikat Hindia Timur Inggeris akan membayar tiga ribu ringgit Sepanyol setahun kepada Dato' Temenggong Sri Maharaja kerana mendirikan kilang itu.
  • Artikel IV-      Dato' Temenggong Sri Maharaja tidak boleh membuat sebarang hubungan dengan negara-negara lain atau membenarkan kuasa negara-negara lain masuk ke negerinya selain dari Inggeris, selagi Syarikat Hindia Timur Inggeris masih kekal dan sanggup memberikan perlindungan menurut perjanjian itu.
  • Artikel V -      Apabila Sri Sultan (Hussein) tiba di Singapura kelak, kesemua perkara yang disebutkan dalam perjanjian ini diselesaikan serta disahkan, akan tetapi pihak Syarikat Hindia Timur boleh memilih suatu tempat untuk mendaratkan pasukan tenteranya dan barang-barang kelengkapan serta dagangan serta menaikkan bendera Syarikat.
Sir Thomas Stamford Bingley Raffles (6 July 1781 – 5 July 1826)
Perjanjian antara Temenggong Sri Maharaja dan Stamford itu merupakan persetujuan sementara dalam usaha Inggeris untuk menguasai Singapura kerana Temenggong itu tidak berhak menandatangani perjanjian sebenar. Hak dan kuasa itu terletak di tangan Sultan yang bersemayam di Lingga. Pada bulan Februari 1819, Tengku Long atau Tengku Hussein, waris yang sah kepada takhta Kerajaan Johor tetapi diketepikan, tiba di Singapura. Walaupun beliau tidak percayakan Inggeris tetapi oleh kerana bimbangkan kuasa Belanda dan Bugis serta dengan sokongan Temenggong Sri Maharaja, beliau telah menandatangani satu perjanjian perikatan dan persahabatan pada bulan Februari 1819 dengan Sir Stamford Raffles.  Dalam perjanjian itu beliau telah diakui dan diiktiraf oleh kerajaan Inggeris di India sebagai Sultan bagi kerajaan Johor - Singapura, bergelar Sultan Hussein Muhamad Shah. Dengan perjanjian itu   maka perjanjian awal yang ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1819 di antara Dato' Temenggong Sri Maharaja dan Sir Stamford Raffles dengan sendirinya menjadi sah dan bermulalah sejarah penguasaan Inggeris ke atas Singapura. 

Fail:Stamford Raffles statue.jpg
Patung Sir Stamford Raffles di Singapura

No comments:

Post a Comment