Social Icons

Ibu tunggal teruja terima kunci rumah daripada Sultan Johor



WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Julai 2012

Sultan Ibrahim menyampaikan replika kunci rumah baru kepada
Bechik@Zainab di Kampung Andik Mori, Serkat, kelmarin.
PONTIAN - Seorang ibu tunggal, Bechik@Zainab Salleh, 72, hanya mampu menitiskan air mata kegembiraan apabila memperoleh kunci rumah baru daripada Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, di sini, petang kelmarin.

Zainab yang mempunyai seorang anak orang kurang upaya (OKU) kehilangan tempat berteduh rumah apabila rumah yang didiami di kampung Andek Mori, Serkat, di sini, musnah terbakar pada Januari lalu.

Rumah baru berharga RM33,000 itu adalah sumbangan peribadi Sultan Ibrahim yang diberikan kepada keluarga berkenaan.

Zainab berkata, dia tidak menyangka akan menerima kunci rumah tersebut daripada baginda Sultan Johor yang turut menziarahi mereka sekeluarga.

Menurutnya, dia bersyukur dan menjunjung kasih di atas pemberian rumah tersebut oleh Sultan Ibrahim kepada keluarganya.

“Saya terharu dan bersyukur dengan kunjungan baginda Sultan Johor. Pertemuan dengan baginda adalah hadiah bermakna sepanjang kehidupan ini,” katanya kepada  Sinar Harian.

Turut mengiringi Sultan Ibrahim ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Kukup, Datuk Md Othman Yusof dan Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon.

Zainab berkata, ketika kejadian kebakaran pada 22 Januari lalu, dia tinggal berdua bersama suaminya, Busu Abdul Rahman, yang sedang uzur, manakala dua anaknya tiada di rumah.

Menurutnya, mujur  anaknya, Abdullah Busu, 39, balik ke rumah untuk makan tengah hari dan sempat menyelamatkan mereka keluar daripada rumah tersebut.

Zainab berkata, suaminya meninggal dunia kira-kira sebulan selepas kejadian kebakaran itu.

Menurutnya, rumah baru berkenaan mempunyai tiga bilik, satu ruang tamu, dapur, bilik air dan dilengkapi dengan bekalan elektrik serta air.

“Ramadan ini lebih ceria dengan rumah baru yang diterima. Saya tidak sabar menanti ketibaan Syawal untuk meraikannya bersama anak dan saudara-mara,” katanya.