Social Icons

Parit konkrit selesai masalah banjir - Sultan Ibrahim


Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan beramah mesra dengan 
sebahagian mangsa banjir di SK Sungai Suloh, Batu Pahat, Johor, semalam.

BATU PAHAT 6 Nov. - "Buat parit konkrit dan jaga baik-baik".
Demikian titah ringkas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika mencemar duli melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Suloh di sini hari ini.

Sistem saliran di kebanyakan kawasan kampung di daerah ini masih menggunakan parit tradisional tanpa konkrit, yang didakwa menjadi punca banjir kerana ditumbuhi rumput selain masalah pasir dan sampah sarap yang menyebabkannya tersumbat apabila hujan lebat dan air pasang.

Sultan Ibrahim tiba di pusat pemindahan itu kira-kira pukul 12.20 tengah hari dengan kenderaan yang dipandu sendiri oleh baginda.

Baginda bertanya khabar mangsa banjir dan beramah mesra dengan mangsa yang terdiri daripada 52 keluarga.

Baginda turut mencemar duli melawat 278 mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gading dan 311 mangsa di Sekolah Kebangsaan Sri Tiga Serangkai.

Sementara itu, Pegawai Daerah Batu Pahat, Ab. Wahab Ridwan yang mengiringi Sultan Ibrahim ketika melawat SK Sungai Suloh berkata, pihaknya memang mempunyai perancangan untuk menambah baik sistem saliran termasuk menukarkannya kepada parit konkrit.

"Sesetengah kawasan memang memerlukan parit konkrit ini disebabkan itu kami sedang membuat kertas kerja dan kini dalam proses terakhir. Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memberikan kerjasama yang baik dan pandangan Sultan Johor itu tentunya akan diambil kira," katanya.

Ab. Wahab berkata, jika projek itu diluluskan oleh kerajaan negeri, kerja-kerja berkaitan akan dijalankan dengan segera.

No comments:

Post a Comment