Social Icons

23-01-2010 - TUNKU IBRAHIM DIMASYHURKAN SEBAGAI SULTAN JOHOR KE-5




Pada hari ini 23 Januari dalam tahun 2010 Tunku Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar dimasyhurkan sebagai Sultan Johor yang ke-5.

LAUNGAN Daulat Tuanku bergema sejurus Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman, mengumumkan pemasyhuran DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.

Pemasyhuran itu disempurnakan di  tangga Istana Besar Johor Bahru, jam 1.35 petang, sebelum jenazah Almarhum Sultan Iskandar di bawa turun dari Balai Singgahsana ke pedati diraja untuk diiring dan disemadikan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah.

Sultan Ibrahim yang dilantik sebagai Sultan Johor kelima kelihatan sebak ketika membaca watikah perlantikan dan bersumpah akan menjaga negeri Johor dan rakyatnya dengan adil.

"Ketahuilah olehmu sekalian rakyat negeri kita daripada bangsa keturunan Melayu dan lain-lain keturunan dan ketahuilah juga olehmu sekalian yang berkenaan dengan negeri dan jajahan tanah air kita bahawa mengikut Fasal 8 Bagi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor tahun 1895 kita. Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj telah menaiki tahta kerajaan."

"Dan telah mengangkat sumpah di dalam Bilik Singgahsana di Istana Besar Johor Bahru pada pukul 10.15 pagi pada 7 Safar 1431 bersamaan dengan 23 Januari 2010 di hadapan jumaah pangkuan negeri menjadi Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri dalam jajahan Johor dan segala daerah takluknya bagi menggantikan Seri Paduka ayahanda kita, Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ismail bertarikh di Istana Besar Johor Bahru pada 23 Januari 2010 dengan titah perintah Datuk Abdul Ghani bin Othman, Menteri Besar Johor."

Tunku Ibrahim melafazkan Watikah Pemasyhuran sebagai Sultan Johor ke-5 di Istana Besar,  Johor Bahru

“Saya, Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar menaiki takhta menjadi Sultan Yang Dipertuan Negeri Johor Darul Ta’zim dan Jajahan Takluknya. Saya bersumpah akan memerintah dengan adil, saksama dan timbang rasa pada semua rakyat."

"Saya akan memelihara dan menghormati agama Islam, adat istiadat Melayu dan memegang teguh pada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor dan undang-undang Negeri."

Sebelum dilantik sebagai Sultan Johor, Sultan Ibrahim merupakan pewaris takhta selepas ditabalkan sebagai Tunku Mahkota Johor. Baginda yang lebih mesra dengan panggilan 'Ku Yem' oleh rakyat Johor telah mengatur satu program membolehkan baginda melihat kehidupan rakyat sebenar, sekali gus mewujudkan hubungan mesra di antara rakyat dan institusi istana.

Program Kembara Mahkota Johor (KMJ) yang dilancarkan sejak 2001 itu amat sinonim dengan baginda dan telah menjadi acara tahunan di negeri ini. Pergerakan rombongan KMJ ini adalah secara konvoi motorsikal berkuasa tinggi, membawa baginda dan rombongan pengiring yang terdiri daripada Menteri Besar, ketua-ketua Jabatan, pegawai kerajaan dan media, menjelajah ke seluruh daerah di negeri ini.

Program itu turut disusuli dengan tinjauan pembangunan di negeri ini terutamanya yang melibatkan penduduk luar bandar, golongan miskin, anak yatim, Orang Kurang Upaya (OKU), petani, penternak dan nelayan.


Selain itu, penjelajahan itu juga mencakupi hal-ehwal kemasyarakatan seperti bantuan perumahan, penjagaan kesihatan, program ekonomi, kebajikan rakyat, agama, pendidikan dan riadah. Sepanjang program ini berlangsung, baginda mengetepikan protokol dan tidak kekok untuk bergaul mesra dengan masyarakat tempatan sama ada ketika menjamu selera, menjalankan aktiviti bersama atau solat berjemaah.

Sepanjang program KMJ berlangsung, baginda bukan sahaja melihat kehidupan harian rakyat, malah turut memberikan sumbangan kepada yang memerlukan. Baginda dengan murah hati menyampaikan bantuan sepuluh basikal kepada kanakkanak miskin dan tiga kerusi roda kepada Orang Kurang Upaya. Aktiviti turun padang itu turut disertai oleh Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah serta putera dan puteri baginda.
Tunku Ibrahim mencuba permainan sumpit pada sukan rakyat di Kampung Sagil Parit 3, Muar
Ketika KMJ 2008, baginda telah mempopularkan kembali sukan rakyat dan penduduk di kampung Sagil Parit 3, Ledang berpeluang menyertai acara itu. Baginda membuktikan bahawa pewaris tahkta juga mahir dalam permainan rakyat. 

Sultan Ibrahim Ismail yang diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah (HSA) merupakan putera sulung Almarhum Sultan Iskandar.

Hasil perkongsian hidup dengan Raja Zarith Sofiah Ibni Almarhum Sultan Idris Shah, pasangan diraja itu dikurniakan enam cahaya mata, lima putera dan seorang puteri iaitu Tunku Ismail Ibrahim, Tunku Aminah, Tunku Idris, Tunku Abdul Jalil, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar.

Sultan Ibrahim mula mendapat pendidikan asas di Taman Didikan Kanak-kanak Tuanku Ampuan Mariam, Johor Bahru sebelum memulakan pelajaran formal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (1) Johor Bahru.

Baginda kemudiannya melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School di Australia mulai 1968 hingga 1970. Sultan Ibrahim juga pernah mendapat pendidikan di Maktab Sultan Abu Bakar (English College Johor Bahru) dari 1971-1975.

Baginda turut menerima pendidikan agama di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek Johor Bahru. 

Setelah tamat persekolahan, Sultan Ibrahim telah dihantar ke Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada), Kota Tinggi selama tiga bulan untuk menerima latihan asas ketenteraan.

Kemudian baginda ke Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat untuk latihan ketenteraan (Airborne dan Infantery Offices Basic Course) dan kemudian menyambung latihan di Fort Bragg, Amerika Syarikat.

Baginda turut menjalani latihan penerbangan helikopter di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kluang dan seterusnya ke Fort Wracker, Amerika Syarikat untuk menjalani latihan lanjutan di Advanced Helicopter Flying‘s School dan menerima anugerah sayap penerbangan.

Selain itu, baginda juga pernah melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang dan diplomasi dari Universiti Tuftf, Amerika Syarikat.