|
TUNKU Idris Iskandar Sultan Ibrahim (dua dari kiri) menyerahkan bungkusan
kurnia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Mersing, Johor, baru-baru ini.
|
MERSING 4 Feb. - Seramai 150 ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU), warga emas, fakir miskin dan anak yatim pelbagai kaum di daerah ini menerima bungkusan kurniaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda baru-baru ini.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim. Yang turut hadir Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim.
Pegawai Daerah Mersing, Abd. Nasir Salam dalam ucapannya berkata, bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang ditanggung golongan yang memerlukan.
"Bantuan ini juga memberi pengertian mendalam dari segi keharmonian dan kerjasama antara institusi diraja dan kesejahteraan masyarakat Johor khususnya di daerah Mersing," katanya.
Sementara itu, seorang ibu tunggal, Hamidah Abd. Aziz, 52, mengakui bantuan tersebut dapat meringankan bebannya untuk membesarkan anak-anak yang bersekolah dan menampung perbelanjaan seorang anaknya di universiti.
"Alhamdulillah, syukur dengan keikhlasan Tuanku dan keluarga diraja untuk memberikan sumbangan ini kepada kami yang memerlukan. Sebagai rakyat, saya menjunjung kasih dan terharu kerana pihak diraja juga memberi perhatian kepada golongan seperti saya," katanya.
Seorang bapa, Wong Kiong Kwong, 37, yang bekerja sebagai mekanik dan mempunyai seorang anak berusia 10 tahun yang lumpuh turut mengakui bantuan itu menunjukkan keprihatinan Sultan Ibrahim terhadap rakyat jelata tanpa mengira kaum dan agama.
"Bantuan ini cukup bermakna kepada keluarga saya. Kami berterima kasih kepada institusi diraja yang prihatin dan membantu kami," katanya.
Yang turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai