JOHOR BAHRU - Hari ini 3 Januari 2014 (Jumaat) merupakan hari pertama negeri Johor memulakan cuti mingguan Jumaat Sabtu sepertimana yang diputuskan sebelum ini.
Pertukaran cuti mingguan tersebut berikutan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang mahukan cuti mingguan tersebut ditukar dari hari Sabtu Ahad kepada Jumaat Sabtu bagi memberi ruang kepada umat Islam memperbanyakkan amalan pada hari tersebut.
Baginda bertitah, Jumaat adalah penghulu kepada semua hari dan umat Islam perlu mengambil peluang keberkatan hari Jumaat untuk memperbanyakkan amalan yang dituntut.
“Pada masa kini, kita dapat perhatikan golongan lelaki terkejar-kejar ke masjid untuk solat Jumaat pada waktu rehat yang singkat. Waktu khutbah pula sering dijadikan sebagai waktu berehat dan tidur.
“Selepas selesai solat Jumaat pula, mereka bergegas bangun meninggalkan masjid sehingga ada yang tidak sempat menunggu imam selesai membaca doa. Kita sedia maklum, di Malaysia ini masih ada beberapa negeri yang mengamalkan cuti pada hari Jumaat malah Johor juga sudah mengamalkannya sebelum ini.
“Oleh yang demikian, selepas menilai banyak pandangan, saya membuat keputusan muktamad supaya hari cuti mingguan Johor ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu berkuatkuasa 1 Januari 2014,” titah baginda sempena Istiadat Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Johor Ke-55, di Dewan Jubli Sultan Ibrahim pada 23 November lalu.
Johor pernah menjadikan Jumaat Sabtu sebagai cuti mingguan sebelum negara mencapai kemerdekaan.
Bagaimanapun cuti itu ditukar kepada Sabtu dan Ahad bermula 1994. Selepas 19 tahun mengamalkan cuti mingguan pada Sabtu Ahad, bermula esok, cuti berkenaan kembali semula kepada Jumaat Sabtu.
Antara negeri yang mewartakan cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu ialah Kelantan, Terengganu dan Kedah.-Bernama