Social Icons

KAFA perlu contohi PBNJ - Tan Sri Annuar Musa

Oleh Mohd Nor Asri Yaacob


Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa tanpa berselindung mengakui Kelantan perlu mencontohi pembangunan drastik yang dilakukan PBNJ bagi memeriahkan Liga Malaysia (Liga M) musim 2014 yang bakal bermula tidak lama lagi.

Annuar berkata, selepas melihat pembangunan yang dilakukan gergasi bola sepak selatan tanah air itu, beliau akan melantik satu firma bagi mewakili KAFA untuk bekerjasama dengan PBNJ sebagai langkah membangunkan sukan bola sepak di negara ini.

Katanya, kedudukannya yang tidak memegang sebarang jawatan termasuk tidak terikat dengan hukuman penggantungan memudahkan urusan untuk mengadakan perbincangan dengan persatuan negeri lain bagi membangunkan bola sepak tanah air .

“Saya berterima kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana memperkenankan saya mengadap dan menghabiskan masa yang cukup lama berbincang mengenai bola sepak. Sukacita saya nyatakan sangat mengagumi apa yang sedang diusahakan di Johor. “Kita di Kelantan sudah melakukan banyak usaha tetapi saya berdepan banyak kekurangan.

“Untuk bekerjasama dengan Johor kita mungkin akan mengadakan seminar atau bengkel pengurusan berkaitan pentadbiran sukan. Saya sudah minta satu firma yang terbabit dalam pengurusan sukan untuk bekerjasama dengan PBNJ. Saya akan sembahkan satu kertas kerja kerana banyak negeri punya fasiliti tapi pengurusan tidak begitu baik,” katanya.

Menurut Annuar, melalui perbincangan dengan Tunku Ismail, PBNJ sudah menaik taraf kemudahan Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin sehingga memenuhi spesifikasi antarabangsa sekali gus memberi keselesaan kepada pasukan tuan rumah dan pelawat.

Katanya, perubahan yang dilakukan di Johor perlu dicontohi negeri lain dan bapa pembangunan bola sepak Kelantan itu akan mengadakan perbincangan dengan setiap presiden persatuan bola sepak negeri bagi membangun sukan nombor satu dunia di negara ini.

“Johor mempunyai padang latihan yang memenuhi piawaian dunia. Di Kelantan kita masih tiada padang latihan malah masih menyewa. Padang di Stadium Sultan Muhammad IV itu sendiri tak memenuhi piawaian bola sepak antarabangsa, tetapi di Johor, bilik persalinan, bilik ujian doping dan bilik sidang media cukup selesa malah terbaru, saya difahamkan PBNJ akan memperbaharui keseluruhan Stadium Tan Sri Hassan Yunos.

“Saya dalam rangka menerima jemputan, namun ada sebahagiannya saya yang minta untuk berjumpa presiden persatuan bola sepak negeri. Banyak juga yang mahu mendengar pandangan saya berhubung pentadbiran pengurusan bola sepak dan mungkin ini salah satu sebab saya meletakkan jawatan supaya bebas dan tidak terikat dengan hukuman yang dikenakan,” katanya.