PROFESOR Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid bukanlah satu nama asing yang perlu diperkenalkan kerana hampir semua rakyat mengetahui jasa tokoh akademik ini kepada negara.
Beliau yang mesra dengan panggilan Pak Ungku juga sangat sinonim dengan usahanya membantu orang Melayu terutama dalam membasmi kemiskinan.
Antaranya melontarkan idea penubuhan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) pada 1963 dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) pada 1971.
Beliau juga ialah ahli ekonomi Melayu pertama dan Naib Canselor Universiti Malaya (UM) tempatan yang pertama dan paling lama berkhidmat. Pak Ungku turut berjasa menubuhkan Pusat Asasi Sains dan Fakulti Islam di UM di samping Program Persediaan Khas Jepun yang berjaya melahirkan puluhan ribu siswazah bumiputera dalam pelbagai bidang sains dan teknologi.
Sementara itu, Tan Sri Robert Kuok, 91, pula cukup dikenali terutama kerana beliau sehingga kini masih mengekalkan rekod sebagai orang terkaya di Malaysia.
Anak jati Johor ini mempunyai kekayaan berjumlah AS$16.7 bilion (RM54 bilion) pada 2013, mengikut Indeks 300 bilionair oleh Bloomberg. Pengerusi Kuok Brothers Group of Companies ini kini berada di tempat ke-50 dalam senarai 300 bilionair dunia sehingga akhir tahun lalu.
Beliau yang meninggalkan Malaysia sejak empat dekad lalu untuk menetap di Hong Kong juga pernah berkhidmat dengan Felda yang telah memberikannya idea untuk menceburi perniagaan komoditi.
Selain perniagaan gula dan minyak sawit menerusi Wilmar International Limited yang berpangkalan di Singapura, beliau juga menguasai syarikat perhotelan Shangri-La Asia. Apabila disebut nama kedua-dua tokoh ini, kita sudah tentu ingin mengetahui apakah persamaan yang membolehkan mereka berjaya dalam bidang dipilih masing-masing.
Rahsia itu akhirnya didedahkan Pak Ungku ketika menyampaikan syarahan perdana bertajuk Anjakan Pemikiran Mahasiswa: Membentuk Minda Geliga di UM, Jumaat lalu. Dalam usia menjangkau 92 tahun, beliau tetap cerdas dan cergas menyampaikan syarahan biarpun sambil duduk bagi membolehkannya berkongsi pengalaman dengan mahasiswa di universiti yang pernah diterajuinya selama 20 tahun.
Pak Ungku dan Kuok sama-sama belajar di peringkat menengah di Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.
"Satu persamaan yang kami berdua kongsi adalah banyak membaca buku dan memiliki sifat ingin tahu yang tinggi.
"Kami berdua dan beberapa pelajar lain gemar mengunjungi perpustakaan sekolah. Kami bukan membaca satu buku sahaja malah setiap kali kunjungan, kami membaca satu rak demi satu rak.
"Apabila semua buku di perpustakaan sekolah habis dibaca, kami berkunjung pula ke Perpustakaan Awam Johor Bahru dan membaca semua buku di sana termasuk yang dianggap tidak sesuai pada usia kami," ujarnya.
Beliau berkata, sifat sedemikian adalah sama seperti yang dianjurkan tokoh seni dan sains dari Itali, Leonardo da Vinci.
"Tokoh ini dalam sebuah bukunya telah menulis bahawa kita mesti mempunyai sifat ingin tahu. Beliau juga mengesyorkan supaya kita sentiasa bertanya untuk mendapat maklumat.
"Kita mesti sentiasa menyebut ungkapan mengapa dan kenapa. Sebab itu saya sehingga sekarang sentiasa bertanya soalan kerana dengan banyak bertanya kita akan lebih berjaya.
"Kalau tidak mendapat jawapan, saya akan mencarinya di dalam buku dan juga menggunakan komputer untuk merungkai semua persoalan berkenaan," katanya.
Menurut Pak Ungku, beliau tidak menjadi bilionair seperti Kuok kerana sejak dari awal lagi telah menetapkan untuk menjadi seorang intelektual dan bukan jutawan.
"Selain tidak mahu menjadi kaya, saya juga tidak mahukan pangkat, gelaran dan segala anugerah kehormatan.
"Saya tidak mahukan apa-apa sebaliknya hanya ingin menjadi seorang yang gembira. Hasrat ini akhirnya tercapai dan saya gembira dengan kehidupan yang telah saya jalani dan hidup saya sekarang," katanya.
Menurut beliau lagi, seseorang itu boleh menjadi individu berjaya dalam hidup jika sentiasa mementingkan kecemerlangan dan memberikan fokus dalam setiap apa yang dilakukan.
"Jika kita masih lagi seorang pelajar, fokus kita yang utama adalah untuk belajar, sebaik-baiknya 95 peratus masa kita adalah untuk belajar dan belajar sahaja.
"Kalau kawan tanya kita jawab tetapi setakat itu sahaja dan janganlah kita selepas itu melayan kawan untuk berborak kosong.
"Saya ketika menjadi pelajar, belajar dengan bersungguh-sungguh dan sebab itu saya sentiasa menjadi pelajar cemerlang termasuk ketika di Kolej Raffles, Singapura.
"Sebagai Melayu pertama yang dihantar untuk belajar di Jepun, saya telah bersungguh-sungguh menguasai bahasa Jepun bagi membolehkan melanjut pelajaran di Universiti Waseda, Tokyo," katanya.
Sementara itu, Pak Ungku berkata, orang Melayu boleh menjadi kaum yang cemerlang jika dapat membuang sifat tidak peduli atau sifat acuh tak acuh yang wujud di kalangan mereka.
Jelas beliau, sifat negatif itu menyebabkan orang Melayu lebih gemar menggunakan istilah berbahasa Inggeris sedangkan perkataan sama boleh diperoleh dalam bahasa Melayu.
Katanya, antaranya nama tumbuh-tumbuhan yang boleh dijadikan ubat yang telah wujud dalam perbendaharaan kata Melayu sejak 1,000 tahun lalu.
"Orang Melayu pada zaman dahulu sangat kreatif dan sudah boleh berfikir dengan cara yang saintifik.
"Mereka boleh menghasilkan ubat mujarab yang kemudiannya dijadikan antara barangan dagangan utama, tetapi nama pokok dalam bahasa Melayu yang dijadikan ubat-ubatan ini, generasi sekarang sudah tidak ingat," ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, beliau bersyukur kerana sudah muncul golongan muda Melayu yang berani untuk mencabar sistem sedia ada dan mempunyai pemikiran yang baharu.
"Generasi baharu ini saya lihat sudah mempunyai pemikiran tahap tinggi dan kembali untuk melakukan inovasi dalam pelbagai bidang," ujarnya.
sekiranya ditanam sifat membaca dan sifat ingin tahu sejak kecil lagi inshaAllah minda kita akan berkembang lebih dari jangkaan kita. =)
ReplyDelete