Social Icons

Showing posts with label Sultan Sir Ibrahim. Show all posts
Showing posts with label Sultan Sir Ibrahim. Show all posts

Rombongan Sultan Johor terhenti kerana Puteri Mariam tertinggal sesuatu


Pada bulan May tahun 1958, tahun dimana kali terakhir Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar berlayar ke England untuk berubat dan mangkat disana pada 8 May 1959.

Sewaktu rombongan Sultan Johor sedang berjalan menaiki tangga untuk naik ke Kapal Himalaya untuk berlayar dari Singapura ke England, kelihatan Puteri Mariam seperti terlupa kepada sesuatu barang yang penting. Matanya memandang kearah orang ramai yang berdiri di jeti itu.

Tetapi tidak berapa lama kemudian mukanya kelihatan ceria semula setelah terlihat pemandu Sultan datang mendekati kapal dan melambai-lambai tangan kearah puteri Sultan Johor itu.

Pemandu Sultan Johor yang bernama Alwi itu menghulur tangan dicelah pagar tangga kapal tersebut lalu memegang tangan puteri kecil itu.

"Selamat Tinggal Alwi," kata Puteri Mariam sambil tersenyum.

Puteri Mariam ketika itu berusia 7 tahun, seakan-akan berat untuk meninggalkan pemandu yang sering membawanya berjalan kemana-mana selama ini. Setelah berpuas hati dibenarkan penjaganya memimpinnya naik keatas kapal.



Sultan Sir Ibrahim dalam kenangan




Rakyat Johor harus berbangga dengan Mejar-Jeneral Sir Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar yang memerintah Johor selama 64 tahun 1895 hingga 1959. Diputerakan pada 17 Sept 1873, baginda menaiki takhta pada 4 Jun 1895 berikutan kemangkatan ayahandanya Sultan Abu Bakar. Baginda telah dimashyurkan pada 7 Sept 1895 dan dimahkotakan pada 2 Nov tahun yang sama.

Baginda menyambut jubli intan pemerintahan pada hari keputeraan baginda ke-82, satu rekod dunia pada masa itu. Di hari kemangkatan baginda pada 8 Mei 1959, baginda mungkin sultan yang paling lama memerintah dalam sejarah Malaysia.

Sultan Sir Ibrahim melalui kisah kehidupan yang berkotak-kotak. Baginda meneruskan perjuangan ayahandanya dalam memelihara kemerdekaan Johor. Baginda juga mengekalkan dasar hubungan mesra dengan Ratu England, tetapi dengan cara berhati-hati bagi mengelakkan persahabatan itu dimanipulasi oleh British bagi tujuan memperluaskan kuasa mereka.

Baginda memegang amanah ayahandanya yang sebelum mangkat mewasiatkan supaya para warisnya berbakti untuk kebajikan rakyat Johor.

Dengan penuh semangat muda, Sultan Ibrahim bekerja bersama rakyat dalam membangunkan tanahair mereka. Baginda menggalakkan penerokaan, tanaman baru dan memberi sokongan peribadi kepada pembangunan negeri.

Sesuatu yang harus dibanggakan, baginda dikatakan menjalankan kerja-kerja penambahbaikan keatas infrastruktur yang dibina dari hasil Johor tanpa meminjam satu sen pun dari sesiapa.

Sultan Sir Ibrahim bergiat aktif, berminat dan bangga dengan Johor Military Forces (JMF) yang telah dibentuk oleh ayahandanya pada tahun 1886.

Kepimpinan baginda telah menjadi faktor penentu dalam membawa JMF kekal sehingga ke hari ini.

Pada tahun 1905, baginda mengasaskan Johore Volunteer Forces (JVF) dengan niat sebagai platform untuk melatih anak-anak melayu Johor untuk berkhidmat didalam sektor kerajaan dan diserapkan ke JMF.

Empat orang Menteri Besar Johor yang pernah menjalani latihan ketenteraan bersama JMF antaranya ialah Abdullah Jaafar (ketiga), Abdul Hamid Yusof (kelima), Ungku Abdul Aziz Abdul Majid (keenam), dan Onn Jaafar (kelapan).

Pada tahun 1936, baginda melengkapkan JMF dengan kelengkapan yang lebih baik berbanding tentera British.

JMF juga dilengkapi dengan mesingan Vickers yang dipasang pada kenderaan dan sesuai untuk digunakan apabila beroperasi di dalam hutan.
(Gambar Hiasan) Vickers yang dipasang di kenderaan
Pada tahun yang sama, baginda membentuk Tentera Udara Diraja Johor di bawah penyeliaan Tentera Udara Diraja untuk melengkapkan dan menjadikan JMF sebuah angkatan tentera yang lebih kuat dalam mempertahankan negeri dan negara. Baginda percaya bahawa dengan latihan intensif, orang Melayu berkebolehan menjadi juruterbang, penembak dan juruteknik.

Sultan Sir Ibrahim menjalinkan hubungan dua hala dengan melawat negara-negara asing.

Baginda telah diterima menjadi tetamu kepada King George V Britain, The Marquis Tokugawa Jepun pada tahun 1934, dan secara rahsia oleh Adolf Hitler pada tahun 1939.

Sultan Sir Ibrahim adalah antara individu paling kaya pada masa itu. Baginda terkenal dengan kemurahan hatinya dengan menyumbangkan 16 kapal terbang kepada British semasa Perang Dunia I. Baginda juga menderma sebanyak $12,000,000 kepada British semasa Perang Dunia II. Britain menggunakan sebahagian daripada wang tersebut untuk memasang tiga biji Monster-Gun yang berukuran 15 inci yang terbesar di luar Britain dikenali sebagai Johor Bateri di Changi untuk pertahanan Singapura.

Pada tahun 1927, baginda telah mendermakan sebanyak $25,000 kepada Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu untuk usaha-usaha bantuan banjir yang keseluruhannya berjumlah $100,000

Sultan Sir Ibrahim dilihat sebagai seorang yang berani apabila mengetuai pegawai JMF untuk mengawal pemberontakan Sepoy di Singapura pada tahun 1915, di mana seorang pegawai dan dua lelaki diberitakan terbunuh. Keesokan harinya, pemberontak yang diupah telah melarikan diri ke Johor menyerahkan senjata mereka di kaki Sultan dan mencium tangannya untuk pengampunan.

Baginda juga dilihat sebagai seorang pemburu yang berani apabila memburu harimau dengan berjalan kaki ketika berada di hutan.


Apabila tentera Jepun sampai ke Johor Bahru pada 31 Jan 1942, baginda menerima mengadap Panglima Jepun di Istana Bukit Serene. Tentera Jepun memberikan penghargaan dan mengiringi baginda ke Batu Pahat atas sebab-sebab keselamatan. (Click)

Selepas British menyerah kalah pada 14 Feb 1942, baginda kembali ke Johor Bahru dan bersemayam di Istana Pasir Pelangi sepanjang pendudukan Jepun.

Sultan Sir Ibrahim mengekalkan toleransi agama di kalangan rakyatnya. Baginda menganugerahkan tanah kepada Kuil Hindu Arulmigu Raja Mariamman dan Gurdawara Sahib Sikh di Jalan Ungku Puan dan gerakan Mason untuk Royal Lodge Johor di Jalan Thomson.

Sultan Sir Ibrahim juga turut menolak pemilihan sebagai Yang pertama di-Pertuan Agong pertama pada tahun 1957. (Click)


Datuk Abdul Rahim Ramli adalah Setiausaha Jemaah Majlis Diraja Johor

ISTANA BANTU CAPAI KEMERDEKAAN

Tanah Kemerdekaan Tanah Melayu tidaklah keterlaluan jika dikatakan mempunyai hubung kait dengan institusi kesultanan Johor. Mungkin ramai tidak menyedari hal ini kerana sejarah sendiri tidak begitu menonjolkan sumbangan besar yang telah dihulurkan Sultan Johor ketika itu, Sultan Ibrahim. Apa yang lebih diketahui umum ialah kebangkitan rakyat menentang penubuhan Malayan Union yang membawa kepada lahirnya UMNO yang kemudian menjadi penggerak utama kemerdekaan Tanah Melayu.

UMNO atau dalam Bahasa Melayu, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ditubuhkan di Istana Besar Johor Bahru pada 1946. Perhimpunan Agung pertama parti ini juga berlangsung di tempat yang sama.

Begitu sayang dan kasihnya Sultan Ibrahim terhadap rakyat dan kedaulatan Tanah Melayu, baginda tidak teragak-agak membenarkan Istana Besar dijadikan tempat orang-orang Melayu berhimpun untuk berbincang dan merancang strategi membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah.

Malahan menurut cerita yang tidak direkodkan, baginda turut membenarkan segala pinggan-mangkuk dan periuk-belangga istana digunakan ketika peristiwa bersejarah itu berlangsung. Segala ini, menurut sejarah lisan, adalah sebagai bukti pengiktirafan istana dan Sultan Ibrahim terhadap perjuangan menamatkan penjajahan British.

Baginda yang menggunakan gelaran Sultan Ibrahim al-Mashur adalah waris ke-tiga Kesultanan Johor moden yang dirintis nenda baginda, Raja Temenggung Tun Daeng Ibrahim iaitu Sultan Johor ke-20 yang memerintah antara 1855 dan 1862.

Abu Bakar yang memakai gelaran Maharaja Johor mengasaskan pentadbiran baginda di Tanjung Puteri yang ketika itu turut dikenali sebagai Iskandar Puteri. Baginda disebut dalam sejarah sebagai sultan yang memperkenalkan ciri-ciri birokrasi moden dalam pemerintah apabila mewujudkan jawatan menteri, wakil raja, kerani besar, kerani biasa serta kakitangan lain untuk membantu urusan pentadbiran negeri.

Satu lagi sistem pentadbiran yang baginda perkenalkan ialah sistem kangcu atau “tuan sungai” di mana orang Cina diberikan surat kebenaran untuk menetap dan mengusahakan penanaman lada hitam dan gambir di Johor. Melalui sistem ini, cukai dipungut secara teratur dari kangcu dan keberkesanannya menyaksikan ekonomi Johor berkembang pesat jauh meninggalkan negeri-negeri lain di Tanah Melayu.

Menyedari hakikat pentingnya pendidikan di kalangan anak-anak Melayu, Baginda turut menyediakan peruntukan tahunan RM1,500 setahun bagi memajukan bidang itu yang antara hasilnya ialah pembinaan sekolah Melayu di Teluk Belanga dan Kampung Gelam.

Sultan Sir Abu Bakar ibni al-Marhum
Dato Temenggong Sri Maharaja Tun Ibrahim
Selepas kemangkatan baginda pada 1862, tampok kesultanan Johor diwarisi Sultan Abu Bakar yang menaiki takhta ketika berusia 29 tahun. Ketokohan pemerintahan baginda memacu ekonomi Johor ke tahap yang lebih tinggi begitu menyerlah sehingga ia menjadi negeri yang paling maju di Tanah Melayu ketika itu.

Baginda jugalah yang memberi rakyat Johor nama ibu negeri baru iaitu Johor Bahru pada 1866 menggantikan Tanjung Puteri. Kecekapan Sultan Abu Bakar memerintah Johor mengagumkan British sehingga baginda diberi gelaran Bapa Johor Moden dan pada 1885, British mengiktiraf Johor sebagai negeri bebas serta berdaulat. Baginda juga diiktiraf sebagai Sultan Johor dengan gelaran Sultan Abu Bakar Alkhalil Ibrahim Shah.


Apabila baginda mangkat 1895, Tunku Ibrahim Iskandar, putera tunggal Sultan Abu Bakar ditabal sebagai sultan dengan gelaran Sultan Ibrahim al-Mashur Sultan Sir Abu Bakar.

Semasa pemerintahan baginda, Johor terus menikmati kemakmuran. Antara peristiwa menarik sepanjang 64 tahun pemerintahan baginda ialah penubuhan askar Timbalan Setia Negeri (TSN) pada 1886 dengan bantuan British dan anak Melayu pertama yang ditauliahkan sebagai pegawai ialah Kapten Daud Sulaiman.

Sejarah menyatakan bahawa Johor adalah negeri pertama dan sehingga kini satu-satunya negeri yang memiliki pasukan tenteranya sendiri. Ramai mungkin tidak mengetahui bahawa pasukan TSN ini, meskipun dianggap sebagai tentera peribadi Sultan Johor, turut terbabit mematahkan pemberontakan askar India di Singapura pada 1915.

Sultan Al-Haj Sir Ibrahim al-Mashur ibni
al-Marhum Sultan Sir Abu Bakar
Antara sumbangan lain pasukan TSN ialah menjaga keselamatan Pulau Belakang Mati yang kini dikenali sebagai Pulau Sentosa di Singapura ketika Perang Dunia Pertama. Selain itu, mereka juga membantu mengawal keselamatan laluan perhubungan di Mersing, Kluang dan Batu Pahat. Ramai pemimpin terbilang negara yang berasal dari Johor pernah menganggotai pasukan TSN ini termasuklah Dato’ Onn Jaafar, perdana menteri ke-tiga Tun Hussein Onn dan bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Ibrahim Ismail.

Ketika zaman pemerintahan bagindalah semangat menentang penjajahan di kalangan orang Melayu semakin membara yang mencapai kemuncaknya dengan penubuhan Umno di Istana Besar Johor Bahru pada 11 Mei 1946.

Sultan Ibrahim mangkat pada 1959 dan takhta diwarisi anakanda baginda Sultan Ismail yang menduduki takhta sehingga 1981. Berikutan kemangkatan Sultan Ismail, putera sulung baginda Tunku Iskandar menaiki takhta dan menggunakan gelaran Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj Almarhum Sultan Ismail.

Pingat Kebesaran Jepun, Selamatkan Istana Johor

1895 - 1959
Major-General Sultan Sir Ibrahim al-Mashur

Apabila Jepun menyerang Tanah Melayu pada penghujung 1941, bala tenteranya telah membinasakan hampir semua kepentingan british termasuk istana, kediaman kerabat diraja dan rumah pembesar.

Bagaimanapun, sewaktu mereka tiba di Johor Bahru dalam serangan ke Singapura bagi melengkapkan penguasaan di seluruh Tanah Melayu, bala tentera Jepun yang dipimpin oleh Panglima Tentera daratnya, Leftenan Jeneral Tomayuki Yamashita telah berundur dan tidak jadi menceroboh Istana Besar Johor Bahru. Dimana Sultan Sir Ibrahim bersemayam.

Menurut sejarah, apabila Sultan Sir Ibrahim mengeluarkan bintang kebesaran maharaja jepun dan menunjukkan kepada Yamashita, Panglima Tentera Jepun itu tunduk hormat dan berundur dari situ tanpa berkata apa-apa.

Bintang Kebesaran Maharaja Jepun tersebut telah dikurniakan kepada Almarhum Sultan Abu Bakar sewaktu baginda mengadakan lawatan rasmi ke negara matahari tersebut kira-kira dalam tahun 1870an.


Untuk pembelian Buku Sejarah DiRaja Johor
sila hubungi pengedar ditalian 019-799-8249 (Whatsapp)


Grosvenor House kediaman Almarhum Sultan Sir Ibrahim ketika mangkat



Classy Hotel, The most elegant and expensive hotel ever existed. 100 years ago. JW Marriot di London inilah menjadi tempat berkumpul pembesar² Johor. Selain itu mesyuarat² Johor State Council juga selalu diadakan disini.

Terdapat beberapa peristiwa penting yg berkait dgn Melayu Johor berlaku di JW Marriot London ini sepanjang 100 tahun yang lepas:


  • Disini jugalah jadi tempat tinggal Sultana Marcella Mendhl bersama ibunya jikalau ke London.
  • Disini jugalah Dato' Rahman Andak diampunkan' oleh HH Ibrahim (peristiwa dia dibuang negeri ke London)
  • Disini jugalah berlangsung majlis Coronation Sultana Helen untuk majlis di London
  • Disini juga HH Ibrahim tinggal sepanjang 2 tahun di akhir² hidupnya
  • Disini jugalah baginda meninggal dunia.





Caj hariannye tidak diketahui, yang pasti teramat mahal yg amat.
Jadi, Siapa kata Melayu tak mampu duduk hotel mewah bertahun²??

PERLETAKAN BATU ASAS TAMBAK JOHOR

Pada hari ini 24 April dalam tahun 1920, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sir Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar meletakkan batu asas Tambak Johor. Upacara ini dihadiri bersama oleh Sir Lawrence Guillemard sebagai wakil kerajaan Negeri-negeri Selat. Batu asas ini telah diletakkan di bahagian tengah Selat Teberau antara Tanjung Puteri dengan Woodlands, Singapura.

Sebelum rancangan pembinaan tambak Johor ini dijalankan, beberapa skim telah dikemukakan untuk membina sebuah jambatan bagi menghubungkan Negeri Johor dengan Singapura. Tetapi oleh kerana tapak bagi pembinaan jambatan itu tidak meyakinkan, rancangan ini dibatalkan. Perbezaan perubahaan paras air surut antara 46 hingga 70 kaki memerlukan satu rentangan-terbuka untuk disesuaikan dengan perubahan paras air. Dengan rentangan terbuka ini bermakna pembinaan sebuah jambatan akan memerlukan perbelanjaan yang lebih banyak berbanding dengan pembinaan sebuah tambak. Akhirnya Pengarah Jabatan Kerjaraya Negeri-negeri Bersekutu, Mr W. Eyre Kenny mengemukakan cadangan bagi pembinaan tambak Johor. Tambak batu ini yang berukuran 3,465 kaki panjang dan 60 kaki lebar mengandungi tambakan batu pejal yang dianggarkan berjumlah setengah juta kaki persegi. Di atas tambak ini dibina landasan keretapi dua hala dan sebatang jalan raya selebar 26 kaki untuk kenderaan. Di sebelah kiri dan kanan tambak ini pula dibina lorong untuk berjalan kaki. Projek pembinaan tambak ini selesai dalam masa lima tahun dengan perbelanjaan sebanyak RM 17 juta.


Pada bulan Januari tahun 1942. tentera British telah mengebom tambak ini untuk menahan kemaraan tentera Jepun ke Singapura. Sepanjang 70 kaki dari bahagian tambak ini telah musnah. Kerosakan ini telah diperbaiki oleh pihak Jepun dua bulan kemudiannya. Hingga ke hari ini tambak Johor masih tetap utuh dan kukuh sebagai nadi perhubungan darat yang terpenting di antara Semenanjung Malaysia dengan Singapura.








Sultan Sir Ibrahim Menolak Gelaran Yang di-Pertuan Agong



Pada Ogos 1957, setelah memilih gelaran Yang di-Pertuan Agong dan menolak gelaran Yang di-Pertuan Besar yang dicadangkan sebelum itu, Majlis Raja-Raja telah bersidang untuk mengundi pemegang takhta yang pertama.

Jika menurut tempoh lama memerintah, Major-Jeneral Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar (Sultan Johor), yang dilantik menjadi Sultan pada tahun 1895, merupakan sultan yang paling lama memerintah, tetapi baginda menolak perlantikan tersebut disebabkan telah lanjut usia (ketika itu baginda berusia 83 tahun).

Yang kedua dalam turutan, Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah (Sultan Pahang), yang memerintah pada tahun 1932, tidak mendapat mandat secukupnya untuk dilantik. Yang lama memerintah seterusnya, Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dari Negeri Sembilan, yang menaiki takhta pada tahun 1933, kemudiannya telah dilantik.


Raja-raja Melayu mengikut tempoh memerintah:

1. Major-Jeneral Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar (Sultan Johor; 1895-1960)

2.Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah (Sultan Pahang; 1932-1974)

3.Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad (Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan; 1933-1960)

4.Al-Marhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah (Sultan Selangor; 1938-1942, 1945-1960)

5.Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (Sultan Kedah; 1943-1958)

6.Sultan Ibrahim Petra ibni Almarhum Sultan Muhammad IV (Al-Sultan Kelantan; 1944-1960)

7.Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail (Raja Perlis; 1945-2000)

8.Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III (Sultan Terengganu; 1945-1979)

9.Sultan Yusuf Izzudin Shah ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Nasruddin Shah (Sultan Perak; 1948-1963)





WANITA INGGERIS PERTAMA MENJADI SULTANAH


Nama asalnya Helen Bartholomew, dilahirkan pada 21 Disember 1889. Beliau telah memeluk agama Islam setelah berkahwin dengan Sultan Ibrahim di England pada 15 Oktober 1930 dan menukar namanya kepada Helen binti Abdullah.


Pada 18hb November 1931, beliau secara rasminya telah ditabalkan sebagai Sultanah Helen. Sultanah Helen merupakan wanita barat pertama ditabalkan menjadi Sultanah.

Sultanah Helen Ibrahim (nama asal, Helen Bartholomew) adalah isteri ketiga Sultan Sir Ibrahim Iskandar Al-Masyhur ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar, sultan kedua bagi Johor moden. Baginda merupakan salah seorang yang terkaya di dunia ketika itu. 

Helen Bartholomew dilahirkan di Glasgow, Scotland. Suami pertama beliau, William Wilson (dilahirkan di Malaya) merupakan doktor peribadi kepada Sultan Ibrahim. Setelah William meninggal dunia, Helen pulang semula ke Britain.

Sultan Ibrahim sangat pemurah. Baginda pernah menghadiahkan sepasang Malay tigers kepada Edinburgh Zoo dan memberikan hadiah berupa wang tunai yang banyak ketika King George V menyambut perayaan Jubli. 

Apabila Sultan Ibrahim menghantar dua orang anakanda baginda untuk belajar di Britain, baginda meminta jasabaik Helen untuk sama-sama 'mengawasi' mereka. Baginda sering juga melawat mereka dan perhubungan baginda dengan Helen semakin mesra. 

Mereka berkahwin di Masjid Surrey pada 15 Oktober 1930. Semenjak itu, Helan memakai gelaran Her Highness Sultanah Helen Ibrahim. 

Sebagai hadiah ulangtahun perkahwinan mereka yang kelima, wajah Sultan Ibrahim dan Sultanah Helen diabadikan di atas stem kenang-kenangan.

Perkahwinan itu berakhir dalam keadaan baik setelah berlangsung selama 10 tahun. Malah sultan ada menghadiahkan permata zamrud pada hari lahirnya dan berlian pada ulangtahun perkahwinan mereka. Dikatakan bahawa koleksi barang kemas Sultanah Helen adalah yang terbaik di dunia.

Helen kembali ke Scotland dan tinggal di Cambuslang sebelum berpindah ke London. Sekitar 1960an, dia dilihat turun dari sebuah Rolls Royce di Sauchiehall Street. Selepas itu tiada sesiapa tahu apa yang telah berlaku kepadanya. 

Namun pada tahun 1980an, sebuah akhbar di Glasgow cuba menyelongkar kembali kisah hidupnya. Walaupun begitu, tidak banyak yang diketahui kecuali penemuan beberapa buah foto sewaktu dia masih bekerja di Glasgow dan ketika dia menjadi Sultanah Johor.

Penyelidikan selanjutnya mendapati bahawa dia meninggal dunia pada 13 Ogos 1977 ketika berusia 88 tahun di sebuah rumah jagaan (nursing home) di Surrey.