Social Icons

Showing posts with label Gelaran. Show all posts
Showing posts with label Gelaran. Show all posts

Tukar gelaran

JOHOR BAHRU: Balu Almarhum Sultan Iskandar, Sultanah Zanariah Iskandar dan bonda tirinya, Sultanah Nora Ismail iaitu balu Almarhum Sultan Ismail, kini bergelar Tunku Puan atau Tunku.

Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Negeri Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, berkata Zanariah Iskandar dan Nora Ismail hendaklah dibahasakan sebagai Tunku Puan atau Tunku dalam ucapan dan persuratan.

“Sebelum ini, tiada pertabalan rasmi bagi menggelarkan mereka berdua dengan gelaran Sultanah. Ketika Almarhum Sultan Iskandar masih hidup, baginda Tuanku hanya memakaikan mahkota kepada Tunku Puan Zanariah dalam upacara khas.

“Sepatutnya pelantikan Sultanah perlu melalui istiadat khas dan hendaklah dimasyhurkan bersama Sultan Johor bagi melayakkan digelar sama ada isteri, Sultanah mahupun permaisuri ataupun gelaran lain,” katanya kepada pemberita di Istana Besar Johor, semalam.

Katanya, berhubung perkara itu, mereka berdua tidak boleh lagi menggunakan lambang mahkota permaisuri dalam cetakan kepala surat, surat dan alat tulis bagi urusan rasmi.

“Jika mereka mahu menggunakan kemudahan dibolehkan dengan syarat perlu memohon melalui istana dan mendapatkan kebenaran Sultan Johor, Tuanku Sultan Ibrahim,” katanya.

Katanya, Tunku Puan Zanariah Iskandar dan Tunku Puan Nora Ismail, bagaimanapun masih diiktiraf sebagai Kerabat Damping dan menikmati kemudahan seperti dibenarkan mengibar bendera kerabat pada majlis rasmi dihadiri Sultan Johor.

“Bendera berkenaan berwarna kuning dengan logo bulan sabit dan bintang pecah lima,” katanya.

Dalam pada itu, tidak ada gelaran ‘Permaisuri’, ‘Sultanah’ dan ‘Isteri Sultan Johor’ bagi merujuk status Raja Zarith Sofiah Ibni Sultan Idris seperti dipaparkan dalam media cetak dan elektronik kerana upacara pertabalan serta istiadat rasmi gelaran rasmi kepada baginda belum diadakan.

Katanya, bagi mengelak rakyat terkeliru dengan gelaran sebenar, panggilan Raja Zarith perlu disebut dalam dalam ucapan serta persuratan dan dibahasakan Tuanku dan baginda akan dimasyhurkan bersama Sultan Johor bagi memakai gelaran rasmi tidak lama lagi.

Katanya, gelaran diraja diguna pakai sebagai menjunjung titah Sultan Ibrahim dan Jumaah Majlis Diraja Johor yang dibuat berdasarkan peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan 1895 dan Adat Istiadat Diraja Johor.

Sementara itu, kerajaan negeri bersetuju menghapuskan tauliah Jaksa Pendamai (JP), yang diperkenalkan sejak 1948 kerana fungsinya sudah tidak relevan digunakan pada masa kini kerana Johor mempunyai bilangan majistret yang mencukupi.

Katanya, peranan JP pada masa dulu seperti fungsi majistret kini yang berkuasa untuk menjatuhkan hukuman ringan kepada pesalah.

“Tauliah JP diperkenalkan sejak 1948 dan kali terakhir dianugerahkan pada tahun 1980 iaitu kepada 55 pegawai kerajaan, namun Tuanku Sultan berpendapat ia sudah tidak relevan dan perlu dimansuhkan serta-merta.

“Ini bermakna tidak ada lagi gelaran JP diguna pakai dan daripada 55 JP ditauliahkan hanya empat masih hidup. Mereka akan dinasihatkan memulangkan kembali tauliah kepada istana dan kuasa sebagai JP terbatal serta-merta,” katanya

Johor, gelaran dan mesej

Sudah lama kita tidak mendengar tindakan raja atau sultan menarik balik pingat, darjah dan gelaran daripada tokoh dan orang kenamaan.

Maka apabila Jumaah Majlis Diraja Johor (JMDRJ) mengumumkan tindakan berkenaan ke atas empat individu termasuk bekas Menteri Kesihatan, Chua Jui Meng dan wanita pertama merentasi Kutub Utara dan Selatan, Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, ramai yang agak terkejut.

Istilah sebenar digunakan Istana Johor bagi penarikan balik pingat dan darjah adalah dipecat. Menurut kenyataan JMDRJ, pemecatan tersebut dilakukan kerana mereka tidak lagi menepati kriteria Undang-Undang dan Peraturan Darjah Mahkota Johor. Ia ada kaitan secara langsung dengan tindak-tanduk dan perilaku mereka, yang tidak mahu didedahkan oleh JMDRJ kerana mahu menjaga aib.

Jui Meng yang juga pemimpin PKR 'mendahului' senarai. Dua anugerah darjah kebesaran membawa gelaran Datuk yang diterima daripada Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar kini sudah tiada lagi. Kawan yakin Istana Johor mempunyai sebab kukuh untuk bertindak demikian. Sultan Johor atas laporan JMDRJ mempunyai hak untuk melakukan pemecatan demi menjaga kemuliaan dan nama baik institusi diraja Johor.

Apa yang berlaku ini mempunyai mesej yang jelas kepada semua. Ia seharusnya menjadi pengajaran betapa para penerima anugerah terutama yang membawa gelaran perlu menjaga tingkah laku, budi pekerti, kesetiaan dan keharmonian kepada negara.

Perkembangan terbaru ini menampakkan Johor meneruskan tradisi yang tersendiri dalam mengurniakan darjah kebesaran dan juga pemecatan ke atas penerima. Semua orang tahu bukan mudah untuk mendapat darjah dan pingat Johor. Bilangannya juga paling kecil berbanding negeri lain. Malah orang Johor sendiri adakalanya mengeluh dan terpaksa mengharapkan kurniaan darjah dari negeri lain.

Tetapi Istana Johor tetap Istana Johor. Keunikan itu menjadikan darjah dan pingatnya dianggap lebih istimewa di kalangan para penerima. Begitu juga dari segi tindakan dan hukuman ke atas para penerima darjah Johor. Tiada kompromi. Ia bukan sahaja dipecat malah penerima gelaran tertentu perlu memulangkan semula darjah atau pingat ke istana. Apa pun, Kawan mengucapkan tahniah kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail kerana ketegasan baginda. 

Pada masa yang sama, Kawan ingin menjunjung kasih kepada Raja-raja Melayu lain dengan mencadangkan agar mengambil pendekatan yang sama terutama kepada golongan yang menghina raja, menggugat kepentingan agama dan bangsa.

Sebagai rakyat Malaysia, Kawan sedih melihat sesetengah pemimpin pembangkang yang tidak lagi menjunjung semangat Perlembagaan negara dan prinsip keharmonian. Paling ketara di Perak. Dewan Undangan Negeri dijadikan umpama zoo. Banyak lagi tindak-tanduk mereka yang keterlaluan tetapi dibiarkan. Malah mereka terus menikmati gelaran. Ia hanya memberi isyarat yang mengelirukan kepada rakyat jelata seolah-olah apa yang mereka lakukan itu tidak salah dan masih dianggap beradab.

Baru-baru ini dalam ceramah di Kelantan, peneraju PKR, Anwar Ibrahim mempersoalkan Raja-raja Melayu yang didakwanya memihak kepada pemimpin kerajaan. Wajarkah Anwar mengeluarkan kenyataan sedemikian dipercayai antaranya merujuk kepada titah larangan Sultan Selangor agar masjid tidak dijadikan tempat berkempen?

Sepatutnya apabila Anwar mempergunakan nama Yang di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam isu 16 September serta isu pengkhianatannya, beliau juga wajar dilucutkan gelaran.

Bukan setakat pemimpin pembangkang. Jika ada pemimpin kerajaan yang biadab, celupar dan melakukan kesalahan yang tidak boleh diterima, juga wajar diambil tindakan yang sama. Barulah darjah dan gelaran itu akan lebih dihargai dan mempunyai nilai moral yang tinggi

Keunikan anugerah “Dato” Johor


SULTAN ABU BAKAR IBNI DAING IBRAHIM (1862-1895)

MAHARAJA Abu Bakar membawa balik beberapa inovasi dari pengalaman baginda melawat England dan Eropah untuk menjadikan Johor sebagai negeri moden dan bertamadun. Baginda merupakan Raja Melayu yang pertama membuat lawatan ke England dalam tahun 1866 dan seterusnya sebanyak enam kali melawat England dan Eropah.

Baginda berhasrat Johor kekal sebagai negeri yang merdeka dan berdaulat dan mendahului negeri-negeri lain. Dengan termetrinya Perjanjian Setia yang ditandatangani baginda dengan kerajaan Ratu Victoria pada 11 Disember 1885 bukan sahaja Inggeris mengiktiraf Johor sebagai negeri merdeka bahkan lebih daripada itu mengiktiraf Abu Bakar dan waris-waris gantinya sebagai Sultan dan Yang Di-Pertuan bagi Negeri Johor dan Segala Jajahan Takluknya. Pengiktirafan ini menambah lagi kedaulatan Abu Bakar dan menyingkir anggapan baginda hanya seorang bangsawan tetapi tidak berdarah raja.

Persetiaan ini merupakan satu kemenangan moral bagi Abu Bakar terhadap Inggeris yang sentiasa merancang untuk meletakkan Johor di bawah pentadbiran dan takluknya sebagaimana yang telah dilakukan ke atas negeri-negeri lain.

Sultan Abu Bakar berjaya bertahan dan mematahkan perancangan Inggeris yang bertubi-tubi selama 30 tahun.

Selepas Abu Bakar memindahkan pusat pentadbiran dari Telok Belanga ke Iskandar Puteri (sekarang Johor Bahru) dalam tahun 1858, baginda menubuhkan sistem pentadbiran moden yang menjadi asas pengurusan sekarang.

Baginda menubuhkan sebuah Jemaah Menteri mengandungi 12 orang pengikut-pengikut baginda yang taat setia, dan sebuah Dewan Negeri dengan tambahan 12 orang lagi termasuk dua orang wakil masyarakat Cina untuk bersama-sama mengurus dan mentadbir Johor.

Di samping itu baginda menubuhkan beberapa jabatan kerajaan seperti polis, kastam, mahkamah, perbendaharaan, kesihatan, agama, pelajaran, jabatan ukur dan kemajuan tanah dan lain-lain.

Sistem pengurusan ini berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan baik sehingga Gabenor Inggeris melaporkan kepada Colonial Office tidak ada keperluan dan tidak munasabah Inggeris campur tangan dalam pentadbiran Johor.

Pada asalnya Ahli Jemaah Menteri memegang jawatan-jawatan yang mempunyai ascribed title atau gelaran seperti Dato’ Menteri bagi Menteri Besar, Dato’ Bentara Dalam bagi Menteri Hal Ehwal Dalam dan Pelajaran, Dato’ Bentara Luar bagi Menteri Pembangunan dan Tanah, Dato’ Sri Amar DiRaja bagi Menteri Hal Ehwal Luar dan Setiausaha Kerajaan, Dato’ Setia bagi Pesuruhjaya Polis, Dato’ Penggawa Barat bagi Pentadbir Wilayah Barat, dan Dato’ Penggawa Timor bagi Pentadbir Wilayah Timor.

Gelaran Dato’ adalah dipadankan daripada gelaran hulubalang Empayar Johor dalam kurun ke-15 lagi. Abu Bakar meneruskan gelaran ini melalui peraturan perundangan dan fisikal.

Tidak seperti Raja-raja lain, Sultan Abu Bakar tidak menunggu Inggeris menakluk negerinya dan menghadiahkan darjah dan bintang sebagai balasan. Malah baginda membawa “peperangan” dengan Inggeris ke gelanggang mereka sendiri iaitu England. Dengan itu terzahirlah Perjanjian Setia yang memberi perlindungan daripada ancaman Inggeris.

Baginda berhasrat menghargai pengikut dan pegawai baginda yang taat setia bersama-sama membangunkan Johor dari hutan belantara ke sebuah negeri yang maju dan bertamadun.

Baginda mencipta Darjah Kerabat Johor Yang Amat DiHormati (DK) dan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia (SPMJ dan DPMJ). Darjah-darjah kebesaran ini dizahirkan serentak pada 31 Julai 1886 dan merupakan Darjah pertama di antara Negeri-negeri Tanah Melayu.

Di antara penerima-penerima DK ialah adik-beradik Abu Bakar. Antara penerima utama gelaran Dato’ adalah Menteri Besar Dato’ Jaafar bin Mohammad, Dato’ Bentara Dalam Mohammad Ibrahim Abdullah Munshi, Dato’ Bentara Luar Mohammad Salleh Bin Perang, dan Pesuruhjaya Polis Dato’ Setia Abdullah Tahir.

Penerima SPMJ pertama bergelar Dato’ bagi ketua masyarakat Cina ialah Tan Hiok Nee seorang ahli Dewan Negeri dan ketua persatuan Ngee Heng Kongsi.

Kriteria pemilihan Dato’ yang digunakan oleh Abu Bakar iaitu taat setia, perkhidmatan cemerlang, kepimpinan dan keikhlasan terus diamal dan dipraktikan oleh Sultan-Sultan Johor selepas baginda. Abu Bakar memaktubkannya ke dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1895 bagi mempertinggikan martabat Darjah itu, dan memberi kuasa mutlak kepada Raja terhadap pengurniaannya.

Almarhum Sultan Ibrahim dalam tahun 1925 mencipta Undang-Undang dan Peraturan bagi Darjah memperkuatkan kuasa Raja dalam hal-hal Darjah. Pada masa sekarang jika terdapat kesangsian nama calon dirujuk kepada pihak berkuasa seperti polis, mahkamah dan agensi pencegah rasuah untuk siasatan dan pengesahan.

Mulai 1886 juga seorang Dato’ diberi gelaran “Yang Berhormat”membawa makna ia hendaklah mempunyai dan mengamalkan taat setia yang tidak berbelah bahagi, perwatakan berhemah tinggi, jujur dan ikhlas, menghormatkan orang lain, bermoral, bertingkah laku yang sopan santun, dan kepimpinan yang boleh dijadikan teladan.

Mulai tahun 1990, calon beragama Islam dikehendaki menyempurnakan Solat Sunat dan melafaz Sumpah Syarie bertaubat dan mohon ampun dan perlindungan Allah SWT dan sentiasa taat kepada perintah-Nya, serta taat kepada Raja dan kerajaan.

Imam Darjah membacakan doa sebelum dan selepas kurniaan mohon kepada Allah semoga dikurnia perlindungan dan petunjuk-Nya kepada Dato’ itu. Perkataan “Kepada Allah Berserah” diukir ke atas Bintang Darjah. Semuanya ini menunjukkan seorang Dato’ itu tidak terlepas daripada tanggungjawab yang berat dan sentiasa memohon taufik dan hidayat Allah Maha Kuasa.

Bagi Dato’ yang bukan beragama Islam harapan dan aspirasi rakyat serta tanggungjawab terhadap mereka adalah sama beratnya walaupun mereka tidak mengangkat sumpah.

Dato’ Johor yang terdiri daripada orang Melayu secara otomatis menjadi ahli bagi Jemaah Pangkuan Negeri yang berkuasa dalam hal memilih, mengesah dan melantik Waris Takhta Kerajaan Johor sebagai Sultan selepas kemangkatan Almarhum. Di sini juga keikhlasan dan taat setia serta pendirian mereka diuji.

Ada orang mengatakan gelaran Dato’ Johor adalah berat, dan mungkin ada orang yang tidak dapat memikulnya dengan sempurna. Setelah diperkenankan, istana akan mengeluarkan surat bertanya jika calon itu bersetuju menerimanya.

Jika seseorang calon berasa belum sampai masanya dan tidak sanggup memikul bebanan tanggungjawab yang berat, dia boleh menolaknya. Ini tidak dianggap sebagai biadab atau menderhaka asalkan tujuannya murni.

Syarat-syarat kurniaan amat ketat bagi memartabatkan kemuliaan Darjah itu. Dari tahun 1886 hingga sekarang 712 orang telah diberi kurniaan Dato’. Pada hari ini terdapat 110 Dato’ Johor yang masih hidup. Justeru sindiran sinis jika dibaling batu tentunya sebiji akan jatuh ke atas seorang Dato’ Johor tidaklah boleh diterima.

Dalam zaman pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim, baginda mengurniakan gelaran “Datin” kepada isteri seorang Dato’.Pada masa sekarang isteri Dato’ tidak bergelar Datin tetapi digelar “Datin Dato’….(nama suami).

Gelaran ini hanya kepada isteri pertama jika Dato’ itu mempunyai lebih daripada seorang isteri. Gelaran itu boleh digunakan jika Dato’ itu meninggal dunia dan selagi balu tidak bernikah lagi. Isteri yang diceraikan oleh Dato’ tidak boleh menggunakan gelaran itu. Ini merupakan satu keunikan di Johor.

Penulis,
Yang Berhormat Dato' Abdul Rahim bin Ramli,
Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Negeri Johor

Untuk pembelian Buku Sejarah DiRaja Johor
sila hubungi pengedar ditalian 019-799-8249 (Whatsapp)