Social Icons

Showing posts with label Hari Ini Dalam Sejarah. Show all posts
Showing posts with label Hari Ini Dalam Sejarah. Show all posts

24-01-2012 - Tunku Ismail ambil alih tampuk kepimpinan PBNJ


TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mengumumkan secara rasmi dalam laman Twitter miliknya menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

Tunku Ismail juga menyatakan matlamat untuk menghindar campur tangan politik dalam arena sukan bola sepak, sekali gus mengembalikan kegemilangan bola sepak Johor.

Pada masa sama, Tunku Ismail mahu memperkasa semua sukan di Johor termasuk sukan subjektif.

Pada 2009, barisan kepimpinan PBNJ bertukar tampuk kepimpinan yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Belia dan Sukan Negeri Johor, Md Jais Sarday.

Sementara itu, Md Jais ketika dihubungi mengalu-alukan kesediaan Tunku Ismail untuk membantu persatuan itu demi kebaikan rakyat dan anak muda Johor.

“Jika ada yang lebih baik untuk menguruskan, tidak ada masalah dan ia bukan isu, selama ini, kita (pengurusan) telah buat yang terbaik untuk persatuan dan pasukan.

“Saya sedia undur diri dan tidak ada masalah untuk sesiapa menggantikan, tetapi ia perlu dibincangkan,” katanya.

ARTIKEL YANG BERKAITAN:
  1. Bolasepak Johor kembali gemilang
  2. TEMURAMAH BERSAMA TUNKU MAHKOTA JOHOR : BAHAGIAN PERTAMA
  3. TEMURAMAH BERSAMA TUNKU MAHKOTA JOHOR : BAHAGIAN KEDUA
  4. Lagenda bola sepak Johor puji Tunku Mahkota Johor
  5. I’ll do it my way

13-01-2012 - Tunku Tun Maimunah Almarhum Sultan Ismail mangkat

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menyiram air pada istiadat pemakaman 
Tunku Tun Maimunah Almarhum Sultan Ismail di Makam Diraja Mahmoodiah, 
Johor Bahru, semalam.
13/01/2012 5:42pm

JOHOR BAHARU 13 Jan. - Tunku Tun Maimunah Almarhum Sultan Ismail, bonda saudara Sultan Johor Sultan Ibrahim, mangkat akibat sakit jantung di sini hari ini.

Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli ketika dihubungi berkata, Tunku Tun Maimunah, 73, yang lebih dikenali sebagai Tunku Gedong, mangkat di kediamannya di Bukit Gedong di sini pada 4.50 pagi.

Diputerikan pada 12 Februari 1939, Tunku Tun Maimunah adalah anakanda kepada Almarhum Sultan Ismail dan Almarhumah Sultanah Ungku Tun Aminah, merupakan isteri Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad.

Jenazahnya disemadikan di Makam Diraja Mahmoodiah di sini pada 4.30 petang tadi.
Sultan Johor Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail dan kerabat diraja Johor yang lain hadir pada istiadat pemakaman berkenaan.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Ali Hassan dan barisan Exco Kerajaan Negeri Johor. — BERNAMA

07-09-1895 - SULTAN IBRAHIM DIMASYURKAN SEBAGAI SULTAN JOHOR

Pada hari ini 7 September dalam tahun 1895 pada jam 11 pagi telah diadakan suatu istiadat yang khas di Balai Zaharah atau disebutkan Balai Cengkih bagi melantik Sultan Johor yang baru menggantikan almarhum Sultan Abu Bakar yang telah mangkat. Putera baginda, Tunku Ibrahim (21 tahun) telah diisytiharkan sebagai Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri Jajahan Johor. Pada hari yang sama, putera sulung DYMM Sultan Ibrahim iaitu DYAM Tunku Ismail (berusia 11 bulan dan dikatakan pewaris Raja yang termuda di dunia) telah dilantik waris takhta kerajaan Johor dengan gelaran Tunku Mahkota Johor.

07-09-1895 - PEMAKAMAN SULTAN ABU BAKAR


Pada hari ini 7 September dalam tahun 1895, jenazah Almarhum Sultan Abu Bakar dimakamkan di Makam Diraja Mahmudiah Johor Bharu, Johor.

Baginda mangkat di Bailey’s Hotel, South Kensington (2 km dari Istana Kensington kediaman Ratu Victoria), London pada 4 Jun 1895, jam 8.15 malam. Putera dan Cucu Ratu Victoria iaitu Prince of  Wales, Edward VII dan Duke of Saxe-Coburg, Charles Edward berada disamping ketika baginda menghembuskan nafas terakhir.

Jenazah Almarhum telah dibawa pulang dari London dengan menggunakan khidmat syarikat perkapalan P&0 yang bernama Bombay atas perkenan baginda Ratu Victoria memandangkan baginda ratu menganggap Sultan Abu Bakar dan Johor sebagai sahabat yang paling bernilai.

Pada 28 Ogos 1895, jenazah Almarhum tiba di pelabuhan Pulau Pinang, yang kemudiannya dipindahkan ke sebuah kapal perang Inggeris, H.M.S Mercury menuju ke Singapura. Setelah sampai di Singapura pada 30 Ogos 1895, jenazah tersebut telah dibawa ke Johor Bahru dan disemayamkan di peterakna Istana Besar Johor Bahru. 

Almarhum Sultan Abu Bakar, yang terkenal sebagai Bapa Johor Moden telah dimasyurkan menjadi Sultan Johor pada 29 Julai 1886. Sebelum ini baginda digelar sebagai Maharaja Abu Bakar. Sepanjang  pemerintahan baginda banyak pembaharuan dan pembangunan dibuat di negeri Johor. 

Di samping itu kecekapan pentadbiran baginda telah menggagalkan rancangan Inggeris untuk menarik negeri Johor ke dalam pentadbiran Sistem Residen. Berita kemangkatan Almarhum Sultan Abu Bakar ini telah tersebar luas di benua Eropah dan England. Diantara kenamaan yang mengucapkan takziah diatas kemangkatan baginda ialah Emperor Germany Wilhelm II, Emperor Russia Nicholas II, Nasrullah Khan dan Lord Ripon.

Almarhum Sultan Abu Bakar telah diganti oleh Putera Mahkota Tengku Ibrahim menjadi Sultan Yang  Dipertuan Negeri Jajahan Johor bergelar Sultan Ibrahim dan telah diistiharkan pada jam 11 pagi di Balai Zahrah atau disebut Balai Cengkih.

26-04-1984 - SULTAN ISKANDAR MENGANGKAT SUMPAH JAWATAN YDP AGONG KE-8


Sultan Iskandar dari Johor hari ini mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan Malaysia.

Seri Paduka melafazkan sumpah jawatan dalam sidang Majlis Raja-raja di Istana Negara di sini dan Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Azlan Shah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di Pertuan Agong.

Naskah pengisytiharan memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong itu telah dibacakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Hadir di majlis ringkas tetapi bersejarah itu ialah Raja-Raja Melayu, kecuali Pahang dan Johor yang diwakili Pemangku Raja, para Yang Dipertuan Negeri - Pulau Pinang, Melaka dan Sabah, manakala Sarawak diwakili oleh Pemangku Yang Dipertua Negeri.

Istiadat dimulakan kira-kira jam 11 pagi apabila penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Ahmad Zainal Abidin menyembahkan warkah sumpah jawatan.

Yang di-Pertuan Agong yang memakai uniform Askar Timbalan Setia Negeri Johor kemudian melafazkan sumpah dan menandatangani warkah tersebut.

Warkah tersebut kemudiannya dipersembahkan untuk ditandatangani oleh Sultan Kedah dan Sultan Kelantan sebagai saksi.



MENGHADAP
Acara diikuti dengan lafaz ikrar oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang juga mempengerusikan majlis tersebut.

Perdana Menteri kemudia tampil menyembahkan kepada Seri Paduka surat-surat pengishtiharan memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong lalu membacakan setelah ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong.

Majlis bersejarah itu diakhiri dengan bacaan selamat oleh Mufti Wilayah Persekutuan Tan Sri Syeikh Mohsein Haji Salleh. Kemudian diikuti dengan istiadat menghadap di Istana oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

8-4-2006 - TUNKU ISMAIL DILANTIK RAJA MUDA JOHOR

Pada 30 Jun 2005, sewaktu Majlis Perasmian Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, Almarhum Sultan Iskandar telah mengumumkan bahawa YAM Tunku Ismail dilantik sebagai pewaris takhta kedua Johor bergelar Raja Muda Johor. 


Pada 8 April 2006 DYTM Tunku Ismail telah diisytiharkan secara rasmi sebagai Raja Muda Johor dan dianugerahkan dengan Darjah Kerabat Johor pangkat Kedua. Pengisytiharan tersebut dibuat sempena Hari Keputeraan Almarhum Sultan Iskandar.

08-03-1926 - SULTANAH RUGAYAH MANGKAT

Sultanah Rugayah (1880~1926)

Photo: tengkusyah.blogspot.com

Hari ini 8 haribulan Mac dalam tahun 1926,  Sultanah Rugayah suri kepada Sultan Sir Ibrahim yang juga bonda kepada kepada Tunku Aris Bendahara Tunku Abu Bakar telah mangkat. Innalillahi Wainnalillahi Rajiun. Baginda telah disemadikan di makam Mahmoodiah. 

Maka diperbuat perkubahannya daripada batu marmar hijau halus dan cantik serta ada berukir diatas nisannya. Maka perkubahan ini ditempah dari Eropah tidak ubah seperti perkubahan Almarhumah Tunku Ampuan Maimunah (Suri sultan yang pertama).
  • Sultanah Rugayah adalah dikalangan orang kebanyakan.
  • Digelar dan dimahkotakan sebagai Sultanah pada tahun 30 Mac 1920.
  • Bersemayam di Istana Pasir Pelangi pada tahun 1912.

10-02-1960 - PEMAHKOTAAN SULTAN SIR ISMAIL



Sultan Ismail, 65 dimahkotakan sebagai Sultan Johor ke-3 di Istana Besar di Johor Bahru hari ini. Dimahkotakan bersama baginda adalah Sultanah Aminah.

Ia adalah majlis yang kaya dengan adat istiadat. Mahkota kebesaran negeri Johor yang berusia 74 telah disarungkan di kepala sultan oleh Mufti Johor pada jam 10:20 pagi.

Ia diikuti dengan tembakan meriam sebanyak 21 das untuk memberitahu kepada rakyat bahawa sultan telah dimahkotakan. Tidak lama selepas itu, sembilan jet pengebom Canberra telah melintas di ruang udara Istana.

Sejurus selepas itu Sultan dan Sultanah dengan mahkota berkelip di bawah sinaran matahari berangkat menaiki kereta untuk upacara perarakan sejauh 3 batu.

Lebih 50,000 orang dan pelajar sekolah berbaris dilaluan melambai tangan sambil melaungkan "Daulat Tuanku" kepada pasangan diraja yang baru dimahkotakan itu.


Buat pertama kali Televisyen digunakan untuk membolehkan tetamu yang berada di luar Istana mengikuti upacara pemahkotaan tersebut. Dua ribu tetamu telah ditempatkan di khemah khas yang didirikan berhampiran tangga Istana. Tetamu lain termasuk ahli-ahli keluarga Diraja, wakil-wakil negara dan raja-raja dan diplomat asing berada di dalam Bilik Singgahsana.


Sejak dari awal pagi Rakyat Johor dan beribu-ribu pelancong berpusu-pusu ke arah Istana yang berusia hampir 100 tahun itu. Ada yang membawa bayi yang masih tidur didakapan ibu mereka turut sama berbaris di sepanjang jalan perarakan. Kesesakan lalu lintas yang berlaku di Jalan Ibrahim yang turut diharungi oleh tetamu rasmi.


Jam 8:15 tetamu VIP bersama isteri mula tiba di Istana. Anggota Askar Timbalan Setia Negeri Johor yang berpakaian seragam putih istiadat menyambut tetamu dengan memberi tabik hormat diiringi dengan lagu yang dimainkan oleh Pasukan Polis DiRaja.

Adinda sultan, Tunku Temenggong Ahmad tiba dahulu, kemudian anakanda kedua sultan Tunku Bendahara dan seterusnya ketibaan Tunku Mahkota Johor.

Kemudian diikuti tetamu-tetamu VIP Ketua Menteri Melaka, Inche Abdul Ghaffar Baba, Ketua Menteri Pulau Pinang, Dato Wong Pow Nee, Tengku Bendahara Kedah, Sultan Perak,Raja Idris Shah II, Tengku Sri Utama Raja Trengganu, Tengku Mahkota Kelantan, Pemangku Raja Perlis, Dr Syed Mahmood bin Syed Hussain Jamalullail, Raja Muda Selangor, Tengku Mahkota Pahang dan Wakil Yang diPertuan Negeri Sembilan.

Kemudian ketibaan Sultan Brunei dengan berpakaian baju Melayu Hitam keemasan yang agak menarik, disusuli ketibaan wakil Yang di-Pertuan Agong, Tengku Mustapha.


Pada jam 9.30 pagi motosikal Polis menderum dengan kuat di laluan pantai Lido menandakan ketibaan Sultan dan Sultanah. Pasangan diraja tersebut menaiki Cadillac dengan bumbung terbuka diiringi Polis diraja dan Askar Timbalan Setia Negeri Johor tiba dari Istana Bukit Serene.

Sultan yang memakai seragam yang bewarna biru gelap seperti yang digunakan oleh Almarhum Sultan Ibrahim dan datuknya, Sultan Abu Bakar pada hari pemahkotaan memukau mata orang ramai. Sultanah memakai baju kurung Johor dipadankan dengan kain sarung, disesuaikan dengan baldu hitam.

Sultan dan Sultanah telah disambut oleh Tunku Mahkota Johor dan Menteri Besar, Dato 'Haji Hassan bin Haji Yunos. Baginda kemudian ke bilik resepsi Istana mereka memakai jubah yang bersulam emas dan selaras dengan satin putih.

Dengan laungan tiga kali diulangi "Dengar", Dato' Penghulu Istiadat, Dato' Rahman Musa mengumumkan permulaan majlis pemahkotaan. Sultan dan Sultanah memasuki Bilik Singgahsana.


Dato Wan Idris bin Ibrahim, maju ke hadapan memberi penghormatan dan meminta izin untuk Menteri Besar memberikan ucapan. Menteri Besar memulakan ucapan dengan melaungkan "Daulat Tuanku" yang bergema di dalam Bilik Singgahsana. Sultan kemudian memberikan persetujuan untuk memulakan majlis pemahkotaan membaca ikrar diraja yang ditulis diatas sutera kuning.

"Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi mengasihani, kita berikrar dan berjanji bahawa dengan bantuan dan bimbingan daripada Allah yang maha kuasa, kita akan memerintah Negeri Johor dan wilayah ini selaras dengan undang-undang dan mematuhi adat resam yang terkandung dalam undang-undang negeri dan hendaklah memerintah dengan adil dan saksama.

"Kita berikrar dan berjanji dengan penuh takwa bahawa hendaklah melindungi dan mempertahankan agama negeri dan memelihara kehormatan dan maruah Raja dan Kerajaan Johor.

"Kita berdoa moga diberkati Allah."



Sultan Ismail kemudiannya menerima Pedang Kebesaran Negeri yang dihadiahkan kepada ayahandanya oleh Kerajaan Negeri pada tahun 1935 dari Dato' Haji Hassan Yonos.


Dato’ Penghulu Biracana, Dato' Ismail bin Abu Bakar, mengumumkan Mahkota Kebesaran Negeri Johor dibawa masuk.


Kemudian majlis menjadi begitu mendebarkan apabila Mahkota Kebesaran Kerajaan Negeri Johor yang diletakkan diatas bantal berwarna kuning mula dibawa masuk ke dalam Bilik Singgahsana.

Dato' Mufti, Dato' Syed Alwi bin Tahir Al-Hadad dan Ketua Kadi, Tuan Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz mula bergerak ke singgahsana.

Tuan Haji Ismail membacakan "selawat" berkat dan Dato' Syed Alwi mengambil Mahkota Kebesaran dari atas bantal kuning tersebut.


Doa dilaungkan dengan kuat apabila mahkota disarungkan ke kepala sultan disusuli dengan Sultanah.

Sejurus dengan itu. Lagu Bangsa Johor dimain diiringi ledakan tembakan meriam 21 das sebagai penghormatan dan sembilan jet pengebom Canberra telah melintas di ruang udara Istana.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Bendahara Johor dan Tunku Temenggong Ahmad maju ke hadapan dan memberikan penghormatan kepada Sultan.

Sultan dan Sultanah berangkat keluar dari Bilik Singgahsana.





29-01-2010 - TUNKU ISMAIL DIMASYURKAN SEBAGAI TUNKU MAHKOTA JOHOR

Ikrar setia...Tunku Ismail yang dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor berikrar akan sentiasa melaksanakan
segala arahan serta bersikap jujur dan ikhlas kepada rakyat. Gambar oleh Hairul Abu Bakar.

Hari ini 29 Januari dalam tahun 2010 Anakanda sulung Sultan Johor, Tunku Ismail, dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor semalam di Dewan Singgahsana, Istana Besar, di sini.

Istiadat pemashyuran itu turut disaksikan oleh bonda Tunku Ismail, Raja Zarith Sofiah, dan kerabat diraja.

Istiadat permasyhuran itu diumumkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim, berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895.

"Setelah diisytiharkan sebagai Sultan, saya berhak dan bertanggungjawab, mengikut Undang-Undang Tubuh negeri Johor, memilih dan melantik seorang waris takhta bergelar Tunku Mahkota Johor.

"Bahawasanya, bagi menjalankan tugas di bawah perenggan 1 fasal 7, bahagian pertama Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895, saya Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takluk Johor, mengikut nasihat Jumaah Diraja, dengan ini memilih dan melantik anakanda Duli Yang Maha Mulia Tunku Ismail menjadi waris takhta kerajaan Johor dan digelar Tunku Mahkota Johor," titah baginda.

Sejurus Sultan Ibrahim selesai bertitah, Tunku Ismail mengangkat ikrar setia dan berjanji akan sentiasa melaksanakan segala arahan serta bersikap jujur dan ikhlas kepada rakyat.

Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Dato' Abdul Ghani Othman dan isteri Datin Dr Prof Jamilah Ariffin; Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadot; barisan Exco, Ahli Dewan Negeri dan pegawai-pegawai kerajaan.

Tunku Ismail dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor bagi menggantikan ayahandanya, Sultan Ibrahim, yang dimasyurkan sebagai Sultan Sabtu lalu berikutan kemangkatan nendanya, Almarhum Sultan Iskandar, pada malam Jumaat lalu.

Tunku Mahkota Johor diputerakan pada 30 Jun 1984 di Johor Bahru dan dilantik sebagai Raja Muda Johor pada 8 April 2006.

Tunku Ismail mendapat pendidikan awal di Sekolah Sri Utama, Johor Bahru dan Sekolah Rendah Kebangsaan St. Joseph, Johor Bahru, sebelum meneruskan persekolahan peringkat menengah di Sekolah Antarabangsa Australian, Singapura, dan kemudian melanjutkan pengajian di Sekolah Hale, Perth, Australia antara 1999 dan 2002.

Baginda yang mewarisi minat nenda dan ayahandanya, turut mendapat latihan ketenteraan di Indian Military Academy (IMA), Dehradun, India, sebagai Pegawai Kadet di sana pada 2003.
Setelah tamat pengajian di IMA, Tunku Ismail dikurniakan pangkat leftenan dan diserapkan ke dalam Angkatan Tentera India, berkhidmat sebagai pegawai dalam Rejimen 61 Cavalry, Jaipur, India.

Tunku Mahkota mencatatkan sejarah apabila baginda menjadi rakyat asing pertama mengetuai pasukan tentera India pada Hari Kebangsaan Republik India pada 26 Jan 2007 serta dipilih oleh Presiden India sendiri untuk mengetuai unit regimen terdiri 400 anggota itu.

23-01-2010 - TUNKU IBRAHIM DIMASYHURKAN SEBAGAI SULTAN JOHOR KE-5




Pada hari ini 23 Januari dalam tahun 2010 Tunku Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar dimasyhurkan sebagai Sultan Johor yang ke-5.

LAUNGAN Daulat Tuanku bergema sejurus Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman, mengumumkan pemasyhuran DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.

Pemasyhuran itu disempurnakan di  tangga Istana Besar Johor Bahru, jam 1.35 petang, sebelum jenazah Almarhum Sultan Iskandar di bawa turun dari Balai Singgahsana ke pedati diraja untuk diiring dan disemadikan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah.

Sultan Ibrahim yang dilantik sebagai Sultan Johor kelima kelihatan sebak ketika membaca watikah perlantikan dan bersumpah akan menjaga negeri Johor dan rakyatnya dengan adil.

"Ketahuilah olehmu sekalian rakyat negeri kita daripada bangsa keturunan Melayu dan lain-lain keturunan dan ketahuilah juga olehmu sekalian yang berkenaan dengan negeri dan jajahan tanah air kita bahawa mengikut Fasal 8 Bagi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor tahun 1895 kita. Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj telah menaiki tahta kerajaan."

"Dan telah mengangkat sumpah di dalam Bilik Singgahsana di Istana Besar Johor Bahru pada pukul 10.15 pagi pada 7 Safar 1431 bersamaan dengan 23 Januari 2010 di hadapan jumaah pangkuan negeri menjadi Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri dalam jajahan Johor dan segala daerah takluknya bagi menggantikan Seri Paduka ayahanda kita, Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ismail bertarikh di Istana Besar Johor Bahru pada 23 Januari 2010 dengan titah perintah Datuk Abdul Ghani bin Othman, Menteri Besar Johor."

Tunku Ibrahim melafazkan Watikah Pemasyhuran sebagai Sultan Johor ke-5 di Istana Besar,  Johor Bahru

“Saya, Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar menaiki takhta menjadi Sultan Yang Dipertuan Negeri Johor Darul Ta’zim dan Jajahan Takluknya. Saya bersumpah akan memerintah dengan adil, saksama dan timbang rasa pada semua rakyat."

"Saya akan memelihara dan menghormati agama Islam, adat istiadat Melayu dan memegang teguh pada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor dan undang-undang Negeri."

Sebelum dilantik sebagai Sultan Johor, Sultan Ibrahim merupakan pewaris takhta selepas ditabalkan sebagai Tunku Mahkota Johor. Baginda yang lebih mesra dengan panggilan 'Ku Yem' oleh rakyat Johor telah mengatur satu program membolehkan baginda melihat kehidupan rakyat sebenar, sekali gus mewujudkan hubungan mesra di antara rakyat dan institusi istana.

Program Kembara Mahkota Johor (KMJ) yang dilancarkan sejak 2001 itu amat sinonim dengan baginda dan telah menjadi acara tahunan di negeri ini. Pergerakan rombongan KMJ ini adalah secara konvoi motorsikal berkuasa tinggi, membawa baginda dan rombongan pengiring yang terdiri daripada Menteri Besar, ketua-ketua Jabatan, pegawai kerajaan dan media, menjelajah ke seluruh daerah di negeri ini.

Program itu turut disusuli dengan tinjauan pembangunan di negeri ini terutamanya yang melibatkan penduduk luar bandar, golongan miskin, anak yatim, Orang Kurang Upaya (OKU), petani, penternak dan nelayan.


Selain itu, penjelajahan itu juga mencakupi hal-ehwal kemasyarakatan seperti bantuan perumahan, penjagaan kesihatan, program ekonomi, kebajikan rakyat, agama, pendidikan dan riadah. Sepanjang program ini berlangsung, baginda mengetepikan protokol dan tidak kekok untuk bergaul mesra dengan masyarakat tempatan sama ada ketika menjamu selera, menjalankan aktiviti bersama atau solat berjemaah.

Sepanjang program KMJ berlangsung, baginda bukan sahaja melihat kehidupan harian rakyat, malah turut memberikan sumbangan kepada yang memerlukan. Baginda dengan murah hati menyampaikan bantuan sepuluh basikal kepada kanakkanak miskin dan tiga kerusi roda kepada Orang Kurang Upaya. Aktiviti turun padang itu turut disertai oleh Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah serta putera dan puteri baginda.
Tunku Ibrahim mencuba permainan sumpit pada sukan rakyat di Kampung Sagil Parit 3, Muar
Ketika KMJ 2008, baginda telah mempopularkan kembali sukan rakyat dan penduduk di kampung Sagil Parit 3, Ledang berpeluang menyertai acara itu. Baginda membuktikan bahawa pewaris tahkta juga mahir dalam permainan rakyat. 

Sultan Ibrahim Ismail yang diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah (HSA) merupakan putera sulung Almarhum Sultan Iskandar.

Hasil perkongsian hidup dengan Raja Zarith Sofiah Ibni Almarhum Sultan Idris Shah, pasangan diraja itu dikurniakan enam cahaya mata, lima putera dan seorang puteri iaitu Tunku Ismail Ibrahim, Tunku Aminah, Tunku Idris, Tunku Abdul Jalil, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar.

Sultan Ibrahim mula mendapat pendidikan asas di Taman Didikan Kanak-kanak Tuanku Ampuan Mariam, Johor Bahru sebelum memulakan pelajaran formal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (1) Johor Bahru.

Baginda kemudiannya melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School di Australia mulai 1968 hingga 1970. Sultan Ibrahim juga pernah mendapat pendidikan di Maktab Sultan Abu Bakar (English College Johor Bahru) dari 1971-1975.

Baginda turut menerima pendidikan agama di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek Johor Bahru. 

Setelah tamat persekolahan, Sultan Ibrahim telah dihantar ke Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada), Kota Tinggi selama tiga bulan untuk menerima latihan asas ketenteraan.

Kemudian baginda ke Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat untuk latihan ketenteraan (Airborne dan Infantery Offices Basic Course) dan kemudian menyambung latihan di Fort Bragg, Amerika Syarikat.

Baginda turut menjalani latihan penerbangan helikopter di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kluang dan seterusnya ke Fort Wracker, Amerika Syarikat untuk menjalani latihan lanjutan di Advanced Helicopter Flying‘s School dan menerima anugerah sayap penerbangan.

Selain itu, baginda juga pernah melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang dan diplomasi dari Universiti Tuftf, Amerika Syarikat.

22-01-2010 - SULTAN ISKANDAR MANGKAT


SUASANA pilu dan bunyi 77 das tembakan meriam mengiringi perjalanan pedati diraja yang membawa jenazah Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail dari perkarangan Istana Besar Johor ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, 23 Januari lalu.

Lebih 2,000 rakyat berbilang kaum termasuk pemimpin-pemimpin negara hadir memenuhi perkarangan Istana bagi memberikan penghormatan serta menyaksikan istiadat pemakaman sultan yang amat dikasihi itu.

Sebelum istiadat pemakaman itu, jenazah almarhum diletakkan di Istana Besar Johor dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari untuk memberi peluang kepada pemimpin dan rakyat memberi penghormatan terakhir.


Kira-kira jam 1.45 petang, jenazah almarhum dibawa menggunakan pedati diraja yang ditarik oleh pegawai Askar Timbalan Setia Negeri Johor ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, kira-kira 3 kilometer dari perkarangan Istana Besar Johor sambil diiringi anggota kerabat, pemimpin negeri dan rakyat jelata.

Jenazah almarhum disemadikan di sebelah makam ayahanda baginda. Bacaan talkin dan doa disempurnakan oleh penasihat Agama Islam Johor, Dato’ Nooh Gadut.


Antara yang berangkat memberikan penghormatan termasuk Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin; Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah; Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail; Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Sultan Perak, Sultan Azlan Shah; Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir; Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra dan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob.



Hadir sama ialah Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong; dan dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sultan Iskandar mangkat pada 7.15 malam Jumaat, 22 Januari lalu di Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru selepas dimasukkan ke hospital itu kerana gering. Kemangkatan baginda diumumkan Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman.

Almarhum diputerakan di Istana Semayam, Johor Bahru pada 8 April 1932, dan dimasyhurkan sebagai Sultan Johor keempat  pada 11 Mei 1981. Baginda pernah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan pada 15 November 1984.

Sultan Iskandar adalah putera ketiga Almarhum Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim dan cicinda kepada Bapa Johor Moden, Almarhum Sultan Abu Bakar.

Ketika hayatnya, baginda adalah seorang sultan yang sangat disenangi, tegas dan sanggup mengetepikan protokol istana untuk bersama-sama rakyat jelata dan meninjau kehidupan mereka.

Semoga roh almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.



19-01-1962 - DATO' ONN JA'AFAR MENINGGAL DUNIA


Pada hari ini 19 Januari dalam tahun 1962, Dato' Onn bin Jaafar meninggal dunia. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan yang besar kepada negara kita.


Dato’ Onn  adalah seorang pejuang kebangsaan dan tokoh politik yang terulung di Tanah Melayu yang berjaya meniupkan semangat kesedaran kebangsaan kepada orang-orang Melayu.
Dilahirkan dalam tahun 1895 di Johor Baharu, Dato' Onn mempunyai 15 orang adik beradik, lelaki dan perempuan dari seibu sebapa, sebapa sahaja dan yang  seibu sahaja dengannya.


Tidak seperti adik-adiknya yang lain, beliau semenjak dari kecil dipelihara oleh Sultan Ibrahim sebagai anak angkat baginda. Malah kakaknya Che Dara berkahwin dengan Sultan Ibrahim.


Dengan asuhan dan layanan diraja, pendidikan timur dan barat (di England) serta ajaran Islam maka tertanamlah di sanubari dan jiwanya perasaan berkeluarga, bermasyarakat, bernegara, cintakan tanahair dan semangat kebangsaan dengan suburnya.


Ketika hayatnya, Dato' Onn telah berjuang untuk memperbaiki dan meninggikan taraf hidup, pelajaran dan ekonomi orang-orang Melayu supaya setanding dengan bangsa-bangsa lain.

Dato' Onn antara lain pernah bekerja sebagai kerani pelatih di Pejabat Setiausahha Kerajaan Johor di Johor Bahru, berkhidmat sebagai kadet dalam Angkatan Tentera Negeri Johor (Askar Timbalan Setia Negeri Johor, Pegawai Daerah Batu Pahat, Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Johor, Menteri Besar Johor, Pro Canselor Universiti Malaya (Singapura), Ahli yang bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Dalam Negeri Persekutuan Tanah Melayu dan Pengerusi RIDA.


Sebagai seorang pemimpin yang berkaliber dan petah bercakap dan berhujah, Datuk Onn telah berjaya memimpin orang-orang Melayu menentang dan seterusnya menumbangkan Malayan Union. Dato' Onn juga terkenal sebagai pengasas UMNO dan dipilih sebagai Presiden yang pertama apabila pertubuhan itu ditubuhkan dengan rasminya pada 11 Mei 1946.


Bagaimanapun, beliau telah keluar dari pertubuhan yang diasaskannya itu pada 27 Ogos 1951 kerana perselisihan faham dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain mengenai dasar perkauman Melayu UMNO.


Dato' Onn ingin menjadikan UMNO sebagai pertubuhan politik yang tidak mengira kaum dan terbuka kepada semua kaum, tetapi tidak dipersetujui malah ditentang habis-habisan oleh sebahagian besar pemimpin pemimpin UMNO yang lain.


Dato’ Onn  kemudian menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya atau Independence Malayan Party (IMP) sebaik-baik sahaja keluar dari UMNO. Parti itu hanya dapat bertahan selama tiga tahun lebih.


Dalam Mac 1954 Dato’ Onn  menubuhkan pula Parti Negara atau "National Party" yang mengamalkan semula dasar perkauman Melayu.


Dalam tahun 1959 Parti Negara telah memenangi pilihanraya Umum Persekutuan dan Dato' Onn dilantik meriadi Anggota Parlimen.


Berita kematian putera Tanah Melayu dan jaguh politik kebangsaan yang ulung itu pada hari ini (Jumaat) dalam tahun 1962 setelah berusia 67 tahun diterima dengan rasa sedih dan terharu yang amat sangat oleh rakyat jelata dan pemimpin-pemimpin negara di seluruh negara.


Di saat keharuan itu Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dengan serta merta mengumumkan penghormatan negara kepada jenazah Dato' Onn sebagai mengenang jasa beliau yang tidak ternilai kepada bangsa dan nusa.


Jenazah Dato’ Onn  disembahyangkan di Masjid Abu Bakar Ialu dibawa ke Istana Besar untuk rakyat memberikan penghormatan terakhir.


Tembakan meriam hormat sebanyak 17 kali telah dilepaskan sebaik-baik saja jenazah itu dibawa keluar dari Istana Besar di atas sebuah kereta meriam yang ditarik oleh anggota-anggota Angkatan Tentera Laut Diraja Malaya dengan diiringi oleh 300 orang anggota dan pegawai-pegawai dari Angkatan bersenjata Tanah Melayu dan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (Johore Military Forces) menuju ke Perkuburan Diraja Mahmoodiah.



Jenazah Dato’ Onn  disemadikan bersebelahan kubur ayahanda beliau. Dato' Jaafar Muhammad dan abangnya, Dato' Mustapha.


Di samping beribu-ribu rakyat jelata yang turut mengiringi jenazah Dato’ Onn  itu ialah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet, Anggota-anggota Parlimen, Menteri-menteri Besar, Speaker Dewan Negara dan Dewan Rakyat, Wakil Raja-Raja Melayu, Pembesar-Pembesar Negeri/Daerah, Wakil Kerajaan Singapura dan Canselor Universiti Singapura.

11-01-1942 - MUAR DI BOM TENTERA JEPUN

Jepun mula memasuki Malaya pada 8 Disember 1941 dengan pendaratan pertama tentera lautnya di Pantai Dasal dekat Kota Bharu, Kelantan. 

Di sini mereka terus mara ke selatan dengan matlamat untuk menawan Singapura sebagai destinasi terakhir mereka.  

Pada hari ini dalam tahun 1942 tentera Jepun telah pun sampai ke Muar, Johor.  Bandar Muar telah dibom oleh tentera-tentera Jepun. Pengeboman Bandar Muar itu menandakan saat-saat terakhir kejatuhan Tanah Melayu ke tangan Jepun oleh kerana kedudukan Muar dan Johor yang strategik bagi pertahanan akhir di Tanah Melayu. 

Serangan-serangan bom ini telah dilakukan oleh Pasukan tentera udara Jepun.  Akibat serangan ini Jepun kemudian telah menguasai tebing utama Sungai Muar. Penduduk-penduduk Muar telah diarahkan oleh pihak berkuasa supaya berpindah ke kawasan-kawasan pendalaman dan kampung-kampung. 

Serangan-serangan udara tentera Jepun ini telah dibantu pula oleh kemaraan pasukan ke-15 tentera berjalan kaki Jepun yang diketuai oleh General Nishimura. Dan pada masa yang sama pihak British telah meletakkan pasukan Brigade ke-45 Infantry India yang baru tiba dan tidak berpengalaman, dan pasukan Australian Imperial Force di bawah arahan Leftenan General Bennets, untuk bertahan di Muar. 

Kelemahan pihak British ini menyebabkan pasukan Jepun dapat menawan Bandar Muar dengan mudah sekali tanpa tentangan hebat.  

Dengan menggunakan jambatan-jambatan yang dibina di atas perahu-perahu, pasukan tentera berjalan kaki dan kereta-kereta kebal Jepun kemudiannya menyeberang Sungai Muar dan pada 16 Januari 1942 berjaya menguasai tebing Sungai Muar sepenuhnya. Pihak British terpaksa berundur dan cuba menyerang balas di Bakri tetapi gagal.  

Pada 20 Januari 1942 mereka terpaksa berundur.   Tentera-tentera Jepun terus mara dan menawan Batu Pahat, Kluang dan Ayer Hitam.   Menyedari suasana bahaya sekiranya mereka terus bertahan di Johor, pihak British selepas bersidang di Pejabat Third Indian Corps mengambil keputusan untuk berundur dari Johor mulai 28 Januari 1942 atau selewat-lewatnya pada 3 Februari 1942. 

Dengan pengunduran ini, maka berakhirlah pertahanan British di Tanah Melayu.  Tentera-tentera Jepun yang sudah menguasai seluruh Semenanjung Tanah Melayu, hanya menunggu masa untuk terus menyerang   Singapura.


07-01-1942 - KAKITANGAN KERAJAAN DI JOHOR DIARAHKAN BERCUCUK TANAM

Pada hari ini dalam tahun 1942, pentadbiran Jepun di Johor telah mengarahkan kakitangan kerajaan bercucuk tanam. Arahan keras ini telah dikeluarkan akibat kekurangan barang makanan dan kadar inflasi yang amat tinggi. Di samping itu juga pihak Jepun berharap agar usaha bercucuk tanam dapat dicontohi oleh orang ramai.

Arahan bercucuk tanam ini tidak lebih dari satu paksaan ke atas kakitangan kerajaan. Mereka dimestikan bercucuk tanam sekurang-kurangnya sejam tiap-tiap hari sama ada di waktu pagi sebelum pergi bekerja atau disebelah petang selepas kelas bahasa Jepun. Kakitangan yang ingkar mematuhi arahan ini akan dipotong catuan beras mereka. 

Jenis tanaman yang digemari ialah ubi kayu dan sayur-sayuran kerana kedua-dua jenis tanaman ini dapat mengeluarkan hasil dengan cepat.

Selain daripada kakitangan kerajaan penduduk Johor yang lain juga dipaksa bercucuk tanam. Setiap orang, termasuk perempuan dan kanak-kanak dipaksa mengusahakan kebun seluas 1 hektar seorang. Mereka yang engkar akan dihukum berat dan dianggap sebagai musuh Jepun.



Jepun juga memperkenalkan sistem pertanian berkelompok. Dalam sistem ini berpuluh-puluh orang dipaksa membuka kawasan baru untuk pertanian. Sebuah kawasan di Endau telah dibuka dan dikenali sebagai New Syonan Colony khas untuk penempatan semula orang-orang Cina dari Singapura. Walau bagaimanapun arahan-arahan dan paksaan bertani ini tidak berjaya. Rakyat terus mengalami kesusahan dan kelaparan sehingga ke akhir zaman pemerintahan Jepun.

01-01-1866 BANDAR TANJONG PUTERI (JOHOR BAHRU) DIJADIKAN IBU NEGERI JOHOR


TANJUNG Puteri (Johor Bahru) sebelum merdeka.

Pada hari ini dalam tahun 1866, Bandar Tanjong Puteri telah diubah namanya kepada Johor Bahru sebagai ibu negeri dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Johor, iaitu menggantikan Teluk Belanga di Singapura. 

Temenggung Abu Bakar Seri Maharaja Johor adalah orang yang bertanggungjawab menukar nama Ibu Negeri. Baginda mengambil tindakan itu memandangkan Tanjong Puteri mempunyai kedudukan strategik untuk dijadikan sebagai pusat pentadbiran dan perniagaan.  

Maharaja Abu Bakar, yang dikenali sebagai 'Bapa Johor Moden' telah berjaya membangunkan Johor Bharu dengan pesatnya. Corak pentadbiran Baginda Sultan Abu Bakar adalah mengikut cara pentadbiran Inggeris. 

Di bawah pentadbiran baginda, Bandar Tanjong Puteri atau Johor Bahru telah berkembang dengan pesatnya sebagai pusat pentadbiran dan perniagaan. Sepanjang pemerintahan baginda pejabat-pejabat dan jabatan-jabatan kerajaan mula ditubuhkan. 

Menjelang tahun 1866 Johor Bahru telah mempunyai Pejabat Setiausaha Kerajaan, Jabatan Perbendaharaan, Pejabat Audit, Mahkamah Besar, Pejabat Percetakan Kerajaan, Jabatan Kerja Raya, Polis, Pejabat Ukur, Pejabat Tanah, Pejabat Pelajaran dan lain-lain.

26 February 2010 - Tunku Idris Dilantik Tunku Temenggong Johor


Tunku Idris Ibrahim diisytihar sebagai Tunku Temenggong Johor oleh ayahandanya, 
Sultan Johor Sultan Ibrahim pada sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid 
Sultan Abu Bakar di Johor Baharu, hari ini. 
JOHOR BAHARU: Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini mengisytiharkan pelantikan anakanda ketiga baginda, Tunku Idris, sebagai Tunku Temenggong Johor.
Pengisytiharan itu dilakukan Sultan Ibrahim semasa bertitah pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Sultan Abu Bakar, di sini.
"Sempena sambutan hari yang mulia ini, pada fikiran saya, adalah molek untuk saya melantik dan menjadikan anakanda Tunku Idris sebagai Tunku Temenggong Johor," titah baginda di hadapan kerabat diraja, pentadbir negeri dan seluruh rakyat yang hadir.
Berangkat pada sambutan itu, isteri baginda, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail, Tunku Idris dan kerabat diraja yang lain.
Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri Datin Prof Dr Jamilah Ariffin, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Abdul Latiff Yusof, barisan Exco kerajaan negeri dan pegawai-pegawai kerajaan, turut hadir.
Tunku Idris, 22, yang berkhidmat dengan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) pernah menempa nama dengan mengetuai lintas hormat enam pesawat udara sempena perarakan sambutan kemerdekaan peringkat negeri Perak pada 2007.
Sultan Johor Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan titah dan pengisytiharan anakanda
ketiga baginda, Tunku Idris sebagai Tunku Temenggong Johor pada sambutan Maulidur
Rasul peringkat negeri di Masjid Sultan Abu Bakar di Johor Baharu hari ini.
Lintas hormat itu menggunakan helikopter EC120 yang diiringi dua helikopter EC120 lain, sebuah pesawat jenis Socata TB10 dan dua buah pesawat Eagle 150B buatan Malaysia.
Sementara itu, Sultan Johor dalam titah ucapan baginda turut melahirkan rasa kesal baginda dengan sikap "kaki judi" beragama Islam di negeri ini yang tidak mempunyai perasaan malu dengan sanggup melakukan perbuatan syirik untuk mendapatkan kemewahan.
"Ada di kalangan kita yang melakukan pelbagai cara untuk mencari kemewahan hidup di dunia termasuk melakukan perbuatan syirik seperti kaki judi yang sanggup melangkah kubur untuk mendapatkan nombor ekor," titah baginda.
Baginda bertitah arahan sudah dikeluarkan kepada Jabatan Agama Islam Johor untuk mengambil tindakan tegas supaya rakyat di negeri ini tidak melakukan perbuatan yang bertentangan dengan agama.
Sultan Ibrahim turut menegur sikap jemaah yang tergesa-gesa meninggalkan masjid sebelum doa habis dibaca.

"Saya masih tidak faham, ada juga jemaah yang tergesa-gesa meninggalkan masjid sebelum doa selesai dibaca. Saya sudah minta Jabatan Agama Islam untuk memendekkan doa kepada Sultan supaya jemaah tidak perlu tunggu lama untuk melakukan urusan masing-masing tetapi masih lagi ada jemaah yang meninggalkan masjid.
"Doa sudah pendek, kalau dipendekkan lagi seolah-olah kita tidak mahu berdoa untuk dapat keberkatan dan hidayah dari Allah," titah baginda.
Sultan Ibrahim dalam pada itu turut mengingatkan pentadbir negeri, pegawai kerajaan dan wakil rakyat supaya menunaikan tanggungjawab dengan amanah, jujur dan ikhlas serta mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi.
Rakyat juga perlu bertanggungjawab kepada kerajaan yang memerintah dan mensyukuri nikmat yang dicapai supaya negeri Johor terus membangun dengan maju, titah baginda.