Social Icons

SEJARAH ISTANA BESAR JOHOR


Selepas memindahkan pentadbiran negeri dari Telok Belanga Singapura ke Iskandar Puteri pada tahun 1858 Maharaja Abu Bakar merancang membina sebuah istana reka bentuk dan ukuran yang setimpal dengan kedaulatan dan kekuasan Baginda. Istana itu hendaklah lebih besar dan indah dari kediaman Gabenor Weld di Singapura menunjukkan kuasa pemerintahan Abu Bakar melebihi Gabenor British. Baginda memilih satu kawasan strategik di atas bukit berdekatan Selat Johor. Gabenor dan semua yang belayar ke Johor akan mengangkat kepala memandang keatas apabila sampai ke tambatan istana, sebagai memberi hormat kepada Maharaja.

Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim (1833-1895)
Pembinaan Istana Besar dimulakan pada tahun 1864. Pemborong yang dipilih untuk membina nya ialah Wong Ah Fook, diselia oleh Yahya Awaluddin jurutera dan arkitek dalam Jumaah Menteri yang juga mereka bentuk bangunan itu. Jubin yang digunakan diimport dari Eropah, batu marmar untuk lantai dibawa masuk dari Italy, genting dari negeri China, batu pejal dari Pulau Ubin, batu bata dari Singapura dan kayu jati dari Johor. Istana Besar siap dibina dan dibuka pada 1 Januari 1866 iaitu sama tarikh penamaan semula Iskandar Puteri kepada Johor Bahru.


Maharaja Abu Bakar tidak menjadikan Istana Besar tempat persemayaman Baginda, bahkan digunakan sebagai balai mengadap dan persemayaman raja dan pembesar yang melawat Johor. Baginda kekal bersemayam di Singapura dan berpindah ke Johor dalam tahun 1889 dan bersemayam di Istana Zahrah.

King David Kalakaua (1836 - 1891)
Antara kerabat raja asing yang mengadap dan menjadi tetamu Sultan Abu Bakar dan pernah bersemayam di Istana Besar ialah Duke of Edinburgh (1869), Prince Henry of Prussia (1880), King David Kalakaua of Hawaii (1881), Duke of Sutherland (1888), Archduke Ferdinand of Austria (1893) dan beberapa lagi. Lawatan dan kunjungan hormat ini menujukkan betapa hebatnya karisma Sultan Abu Bakar dikalangan antarabangsa dan membolehkan Baginda menunjukkan pembangunan Johor kepada dunia luar.

King Chulalongkorn, Rama V (1853-1910)
Raja Siam King Chulalongkorn (1896), Prince Henry of Russia (1898), dan Marquis Tokugawa Jepon (1929) adalah antara raja asing yang pernah bersemayam di Istana Besar semasa pemerintahan Sultan Ibrahim.

Pada tahun 1868 Maharaja Abu Bakar memindahkan jentera pentadbiran negeri termasuk sekretariat, perbendaharaan, kastam, tanah dan ukur serta pendidikan dari bangunan berasingan di Iskandar Puteri ke Istana Besar. Dengan itu wujudlah ungkapan “Istana itu Kerajaan, Kerajaan itu Istana”.

Penulis,
Yang Berhormat Dato’ Abdul Rahim bin Ramli
Yang DiPertua Jumaah Majlis DiRaja Johor
16 Oktober 2016

TEMPAHAN BUKU SEJARAH JOHOR
Whatsapp: 019-799-8249


No comments:

Post a Comment