Social Icons

Daerah Batu Pahat Maju dan serba lengkap


Daerah Batu Pahat
Maju dan serba lengkap

Pesat...Sektor perindustrian menjadi pemacu utama ekonomi Batu Pahat.
JIKA ada daerah yang ingin mengaku banyak mengalami perubahan dalam tempoh 54 tahun lalu, Batu Pahat tidak harus segan untuk mendabik dada.

Manakan tidak. Batu Pahat yang satu ketika dahulu suram kini dianggap daerah kedua selepas Johor Bahru yang paling cepat kadar pembangunannya.

Kesesakan lalu lintas di pusat bandar berlaku tanpa mengira hari sementara gedung membeli-belahnya sentiasa padat dengan pengunjung.

Adalah menarik untuk diketahuibahawa terdapat tiga gedung membeli-belah ternama termasuk Tesco di bandar Batu Pahat yang mencerminkan kepesatan pembangunan daerah ini.

Batu Pahat mengalami perubahan ketara apabila kerajaan mempelbagaikan aktiviti ekonominya yang pada awal kemerdekaan berteraskan pertanian dan antara yang dilihat berpotensi besar untuk dimajukan ialah sektor perindustrian. Sri Gading, Tongkang Pechah dan Parit Raja yang namanya amat terasing dahulu kini menjadi tumpuan bukan sahaja di kalangan penduduk setempat malahan para pelabur termasuklah dari negara luar.

Pegawai Daerah Batu Pahat, Yahya Mohd Salleh berkata permintaan terhadap tapak kilang di Sri Gading amat tinggi dan penggunaan kawasan itu sudah hampir ke tahap maksima.

“Setakat ini sebanyak 108 lesen telah dikeluarkan dan kami masih lagi menerima permohonan untuk membuka kilang di situ,” katanya.

Antara yang paling awal bertapak di kawasan perindustrian Sri Gading ialah gergasi elektronik Sharp Roxy dan pengusaha tekstil Ramatex Sdn Bhd.

Yahya berkata kawasan perindustrian Tongkang Pechah dan Parit Raja juga semakin berperanan
dalam meningkatkan lagi ekonomi Batu Pahat.

“Kita telah mengeluarkan 60 lesen kilang untuk kedua-dua kawasan ini dan antara jenama popular yang beroperasi di sini ialah Hwa Tai Industries, Hup Seng, kilang kayu Evergreen Industry.

“Fujitsu Component, pengeluar utama komponen elektronik dunia juga beroperasi di sini, ”katanya.

Tidak mahu dibuai dengan kejayaan setakat itu, kerajaan menamakan empat lagi kawasan sebagai lokasi sektor perindustrian termasuklah Sri Wangi di Parit Yaani, Taman Kota Yong Peng di Parit Sulong serta Jalan Ayer Hitam - Yong Peng yang menempatkan antaranya Munchy Food Industries Sdn. Bhd, pengeluar terkenal makanan ringan.

Batu Pahat juga boleh berbangga kerana dalam usaha kerajaan meningkatkan ekonominya, bidang
pendidikan tetapi diberi perhatian.

Satu lagi kelebihan daerah ini berbanding daerah lain ialah wujudnya pusat pembelajaran seperti  Kolej Universiti Tun Hussein Onn Malaysia ( KUiTTHO) di Parit Raja, Institut Perguruan Tun Hussein Onn (IPTHO) dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi ADTEC di Parit Sulong.

Sebagai rekod, satu-satunya kampus utama universiti awam di Johor ialah Universiti Teknologi Malaysia di Skudai, Johor Bahru manakala Universiti Teknologi Mara mempunyai kampus cawangan di Segamat.

Jolokan daerah aneka budaya yang diberikan kepada Batu Pahat juga amat bertepatan kerana di sinilah dikatakan menjadi pusat perkembangan seni tradisional antaranya tarian kuda kepang, barongan, kempelingan dan terbangan.

Batu Pahat juga adalah satu-satu daerah yang mempunyai taman tema air untuk keluarga beriadah dalam suasana yang selesa.

Nyatalah daerah ini yang mempunyai penduduk kira-kira 337,000 orang serba lengkap serba maju seiring usia kemerdekaannegara.

4 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Sedikit pembetulan.KUiTTHO sudah bertaraf universiti penuh: UTHM (Universiti Teknologi Tun Hussein Malaysia) juga merupakan IPTA. Jadi UTM bukan lagi satu-satunya IPTA di Johor. UTHM merupakan kampus IPTA utama kedua dalam negeri Johor (selepas UTM Skudai). Lagi satu, nama IPTHO telah bertukar menjadi IPGKTHO (Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Hussein Onn). TQ

    ReplyDelete
  3. pembetulan...tiada tesco di batu pahat...tetapi bp mall,the store.the summit perade,carrefour....terdapat jua kolej poly-tech mara batu pahat n kolej kemahiran di evergreen...

    ReplyDelete
  4. Kita juga perlu perbanggakan dengan industri perkampungan yg semakin pesat

    ReplyDelete