|
Kompleks bernilai...Makam Sultan Mahmud mangkat
dijulang yang terletak di Kampung Makam, Kota Tinggi. |
BARANGKALI lebih ramai di seluruh negara mengenali Kota Tinggi atas sebab hampir seluruh bandarnya ditenggalami banjir terburuk akhir tahun lalu, berbanding lipatan sejarahnya yang menjadi khazanah pemerintahan Kesultanan Melayu Johor.
Namanya sudah cukup menggambarkan ia adalah sebuah kota di kawasan yang tinggi – satu kriteria yang dipertimbangkan oleh mana-mana kerajaan lampau untuk dijadikan sebagai pusat pentadbiran.
Atas kedudukannya lebih tinggi daripada aras sungai dan struktur muka bumi yang bertanah tinggi itulah dipercayai mendorong Sultan Mahmud memberi nama daerah itu Kota Tinggi.
Bandarnya yang terletak di muara Sungai Johor, dikelilingi pula oleh perkampungan Melayu tradisional, petempatan orang asli serta kawasan rancangan tanah Felda dan Felcra, menjadikan Kota Tinggi agak strategik, sehinggakan cadangan supaya memindahkan bandarnya akibat banjir, mendapat perhatian dingin.
Lebih-lebih lagi, menurut catatan sejarah, di situlah bermulanya pemerintahan Kesultanan Melayu Johor dan sehingga kini masih lagi terdapat peninggalan sejarah seperti Kota Lama akibat peperangan Johor - Portugis – Belanda.
Selain itu, terdapat Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, sultan terakhir bagi Kesultanan Melaka, Makam Laksamana Bentan dan Makam Bendahara Tun Habib Abdul Majid yang terletak di kampung Kelantan.
Artifak serta kesan sejarah Kesultanan Johor-Riau ini sudahpun dipamerkan di Muzium Kota Tinggi yang mula beroperasi sepenuhnya sejak beberapa tahun lalu.
Kelebihan sejarah inilah telah memberi nilai tersendiri kepada Kota Tinggi terutama dalam sektor pelancongan dan menurut Pegawai Daerah Kota Tinggi, Norizan Kulob, kawasan-kawasan sejarah kini sudah diperbaiki oleh Yayasan Warisan Johor (YWJ) selain merangka pelbagai daya tarikan baru pelancongan.
“Pihak Berkuasa Tempatan daerah Kota Tinggi turut mempunyai unit pelancongannya sendiri bagi memberi tumpuan kepada industri ini, dan satu pusat penerangan ditubuhkan sejak awal tahun ini di tepi Sungai Johor.
“Pelancong boleh mendapatkan maklumat serta arah tuju bagi tempat-tempat bersejarah berkenaan di pusat ini,” katanya.
Selain itu, Kota Tinggi juga mempunyai tarikan utama iaitu air terjun yang terletak di Lombong serta pantai-pantai di sepanjang pinggir laut termasuk Tanjung Bau, Desaru, Batu Layar dan Tanjung Sedili.
Sepanjang kemerdekaan 50 tahun ini, kata Norizan, banyak perubahan dibawa ke Kota Tinggi dari segi pembangunan fizikal serta ekonomi termasuk perhubungan jalan darat menggantikan laluan sungai dan laut.
“Penduduk menikmati jalan darat serta jalan pintas seperti Kota Tinggi-Desaru-Penggerang. Malah, ada tiga pekan lain sudah dimajukan selain Kota Tinggi, iaitu Sungai Rengit, Teluk Sengat dan juga Sedili Besar
“Bukan itu sahaja, ada lima bandar baru di bawah pentadbiran Kejora iaitu Bandar Penawar, Tenggara, Bandar Mas, Petri Jaya dan Perani,” jelasnya.
Pembangunan sedemikian membantu pertumbuhan pembangunan tanah rancangan Felda dan Felcra, sekali gus melancarkan lagi usaha menuju matlamat kemiskinan sifar di Kota Tinggi.
“Kemajuan ini juga dapat memikat minat generasi kedua Felda untuk tidak meninggalkan kampung halaman mereka. Kerana kini mereka dapat hidup dengan lebih selesa,” kata Norizan.
Malah, Kota Tinggi bakal menjadi lembah makanan apabila satu kawasan agak luas sudah dikenalpasti dan dibangunkan dengan kegiatan pertanian yang menggunakan pendekatan bioteknologi.
|
No comments:
Post a Comment