Social Icons

Del Nero sertai barisan 'Impian' Johor

DEL NERO (tiga dari kanan) disambut oleh Tunku Ismail (empat dari kanan) sebaik
saja tiba di Johor Bahru 
semalam.
SELEPAS berjaya mengikat bekas pemain kelab La Liga Sepanyol, skuad Johor menambah seorang lagi pemain berbisa kelahiran Carrara, Itali, Simone Del Nero, 31, sekali gus melengkapkan kuota dua pemain import untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) tahun depan.

Del Nero yang merupakan bekas pemain kelab Serie A Itali, Lazio, mengikat kontrak selama setahun dan lanjutan setahun lagi bersama pasukan Harimau Selatan semalam.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tetap dengan pendirian baginda untuk tidak mendedahkan nilai kontrak dan gaji pemain import baharu itu.

"Nilainya rahsia, sebelum ini kita berjaya mengikat bekas pemain antarabangsa Sepanyol, Daniel Gonzales Guiza dan kini Del Nero akan memperkemaskan bahagian tengah skuad Johor," katanya pada sidang akhbar khas menyambut kehadiran Del Nero di Hotel Thistle, Johor Bahru semalam.

Dengan kehadiran Del Nero, Andre Francisco Da Silva yang pada awalnya akan diserap dalam pasukan Johor kembali bersama Johor United musim depan.

Sementara itu, bercakap menerusi jurubahasanya, Del Nero yang kini beraksi secara pinjaman bersama A.C Cesena dalam saingan Serie B Liga Itali berkata: "Saya dimaklumkan (oleh ejen) bahawa saya akan bermain dengan beberapa nama besar dalam arena bola sepak tempatan.

"Ia bukan satu masalah besar untuk menyesuaikan diri dengan pemain tempatan. Ingin juga saya tegaskan bahawa saya telah mendapat tawaran daripada beberapa kelab Eropah termasuk Itali tetapi saya memilih untuk menyarung jersi Johor.

"Tambahan, bos saya (Tunku Ismail) mempunyai perancangan yang hebat untuk pasukan ini, saya teruja menjadi sebahagian daripada pemain dalam misi memburu kejuaraan."

Menyingkap karier bola sepak Del Nero, beliau mula menjadi pemain profesional ketika bersama kelab Empoli pada musim 1998 hingga 2000.

Dia kemudian berhijrah ke kelab Brescia (2000-2007) dan turut beraksi dengan kelab Livingston pada saingan Liga Divisyen Satu Scotland (2001-2002) secara pinjaman sebelum membuat 22 penampilan bersama Lazio.

Pencapaian terhebatnya ialah apabila berjaya membantu pasukan bawah 21 Itali tahun bergelar juara pada Kejohanan Bola Sepak Eropah (UEFA) tahun 2004 dan memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Greece pada tahun sama.