Social Icons

TUNKU MAHKOTA JOHOR KECEWA DENGAN MUTU PENGADILAN


Tunku Ismail Sultan Ibrahim

Johor Bahru: Selepas sekian lama berdiam diri akhirnya Presiden Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (gambar) meluahkan rasa tidak puas hati dengan mutu pengadilan saingan Liga Malaysia (Liga M) yang boleh ditakrif masih berada di tahap amatur ketika bola sepak di Malaysia sudah lama di era profesional.

Tunku Ismail nyata kecewa dengan mutu pengadilan yang langsung tidak berkualiti apabila kerap membuat keputusan meragukan, terutama kesalahan yang begitu jelas dilakukan pasukan lawan, bagaikan tidak endah sebaliknya menghukum kesalahan yang dilakukan pemain Johor Darul Takzim.

Katanya, mutu pengadil yang tidak berada di tahap memuaskan bukan saja membabitkan aksi Johor Darul Takzim, malah boleh dikatakan semua pasukan yang bersaing pada kancah Liga M juga kecewa dengan kegagalan pengadil mengawal perlawanan dan sudah tiba masa Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) mengambil langkah drastik untuk meningkatkan lagi mutu pengadilan.

"Perkara ini sudah berlaku sejak dari awal musim liga dan kita telah mengharungi tujuh perlawanan, namun perkara sama tetap berulang. Di mana mutu pengadilan sebenar?

"Perkara ini sangat mendukacitakan buat penyokong setia, penaja, para pemain dan saya sendiri sebagai Presiden PBNJ,"

“Saya hormati Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah dan Timbalan, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tetapi apa yang saya ingin persoalkan tindakan lanjut daripada pegawai FAM berhubung mutu pengadilan yang lemah dan saya difahamkan ketika saingan liga berehat selama tiga minggu semua pengadil menjalani kursus namun tiada sebarang peningkatan yang ditunjukkan.

“FAM harus bertindak segera untuk memperbaiki apa jua kelemahan yang membabitkan pengadil dalam saingan Liga M dan harus memastikan semua pengadil yang bertugas pada aksi liga berkualiti.

“Kita sudah buat pelaburan besar bagi memastikan mutu bola sepak di Johor ditingkatkan tetapi usaha itu akan sia-sia seandainya pengadil gagal berfungsi dengan baik yang menjejaskan rentak permainan bukan saja kepada Johor Darul Takzim bahkan membabitkan pasukan lain dalam saingan Liga M,” katanya pada sidang media tergempar di Hotel Thistle, di sini, tengah malam kelmarin.

Bagi mengukuhkan bukti betapa mutu pengadilan masih lemah, Tunku Ismail menegaskan satu salinan rakaman perlawanan membabitkan Johor Darul Takzim dan beberapa pasukan lain akan diserahkan kepada FAM untuk dinilai dan turut disusuli dengan surat rasmi.

“Hargailah keringat pemain yang bertungkus lumus di padang kerana mereka menjalani latihan pada sesi pagi dan petang dan beraksi pada saingan Liga M tapi jika mutu pengadilan tidak berkualiti ia pasti menjejaskan rentak permainan sekali gus menjatuhkan moral pemain itu,” kata Tunku Ismail.

Sementara itu, Tunku Ismail menjelaskan yang baginda sanggup menerima segala kecaman dan hukuman FAM sekiranya apa yang dinyatakannya salah.

"Sekiranya apa yang saya cakap salah, hukum saya, sekurang-kurangnya saya sudah luahkan apa yang selama ini menjadi permasalahan besar.

"Apa yang saya buat ini adalah untuk memastikan mutu pengadilan kita diyakini semua dan saya perjuangkan yang benar, kita sudah bekerja keras, menang atau kalah itu lain cerita.

"Sekarang ini kita jadi mangsa dan ia sesuatu yang sangat mengecewakan sebab kita sudah berusaha untuk meningkatkan mutu bola sepak tetapi tiada orang peduli," katanya.

"Saya hanya nak persoalkan apakah tindakan yang dibuat FAM terhadap pengadil, sebab mereka ini tiada standard sama ada mereka tidak layak atau sebaliknya?"