Social Icons

'Puteri Sultan Sulu' fitnah Aquino ikut 'telunjuk' Sultan Johor


MANILA 21 Mac - Anak perempuan ketua kumpulan pengganas Jamalul Kiram III, mendakwa Presiden Filipina, Benigno Aquino III menuruti nasihat seorang Sultan dari Malaysia dalam menangani krisis di Sabah.


Akhbar Filipina melaporkan Jacel Kiram mempersoalkan mengapa Istana Malacanang mengikut 'telunjuk' Sultan Ibrahim Ismail (Sultan Ibrahim Sultan Iskandar) yang merupakan Sultan Johor berhubung krisis tersebut.


Dia turut mengkritik Aquino memihak kepada rakyat Malaysia dan kenyataan Presiden Filipina itu yang dilihat menyokong kepentingan Malaysia.


"Berdasarkan sumber Istana Malacanang, Sultan Ibrahim dan ayahanda baginda, Sultan Mahmud Iskandar (Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail) pernah tinggal bersama Aquino dan keluarganya di Boston, Massachusetts pada 1970-an.


"Siapakah baginda (Sultan Ibrahim) kepada anda? Adakah baginda bertanggungjawab mengapa Presiden tidak mendengar sebarang nasihat jururunding politiknya," katanya pada satu sidang media, semalam.


Jacel mendakwa, Sultan Ibrahim merupakan jururunding yang memberi nasihat kepada Presiden Filipina itu.


"Hubungan rapat Presiden dengan Sultan Ibrahim yang merupakan sekutu rapat bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad juga menjelaskan mengapa kenyataan dan tindakan Aquino kelihatan pro-Malaysia," katanya.


Sementara itu, jurucakap kerajaan, Edwin Lacierda pula berkata, ini merupakan kali pertama beliau mendengar nama Sultan Ibrahim.


"Kiram sering mengeluarkan kenyataan yang samar-samar, penuh sindiran, menuduh orang lain tetapi tidak pernah melihat kesalahan mereka.


"Bagaimana seseorang mahu melihat kerajaan akan menyokong pendekatan bersenjata dalam satu isu yang berlaku sejak kurun ke-19.


"Dalam usaha untuk menuntut sesuatu yang didakwa milik mereka, mereka menggunakan pendekatan bersenjata dan kini tindakan mereka mengakibatkan kehilangan nyawa, mereka menyalahkan semua orang kecuali diri mereka sendiri," katanya. - AGENSI