Social Icons

'SAYA BERKECUALI' - SULTAN JOHOR


JOHOR BAHARU 7 Mac - Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini menasihatkan penyokong bola sepak negeri ini supaya menjaga tatatertib dan tidak melakukan perkara yang melanggar undang-undang ketika menyaksikan perlawanan Liga Super dan Liga Perdana.

Baginda bertitah semua penyokong perlu sentiasa mengingati keselamatan semua pihak ketika berada di stadium supaya tidak mencemarkan nama negeri ini.

“Kepada penyokong Johor, jagalah tatatertib ketika menonton. Bersopan santun dan jangan membuat perkara yang boleh mencemarkan nama baik Johor seperti membaling botol, asap dan mercun. Sebaliknya tunjukkan kepada penyokong negeri lain bahawa kita berdisiplin,"

“Tunjukkan kepada peminat bola sepak negeri lain bahawa penyokong Johor berdisiplin. Jagalah nama baik Johor, sekiranya mereka sayangkan sukan ini. Malah mereka juga perlu ingat juga mengenai keselamatan penyokong lain juga,” titah baginda. 

Baginda turut memuji inisiatif yang dilakukan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri ini.

"Sekarang saya tengok stadium penuh malah saya difahamkan tiket sudah habis seawal pukul 10 pagi dan penyokong hadir ke stadium seawal pukul 6 petang.

Baginda juga menasihatkan penyokong bersabar dan memberi masa kepada pasukan Johor untuk berkembang maju dalam usaha menjadi pasukan terbaik di negara ini. 

"Cara Tunku Mahkota memimpin PBNJ dalam masa terdekat sudah nampak hasilnya tetapi peminat jangan berharap pasukan terus menjadi juara, sebaliknya memberi tempoh masa untuk pasukan. Ini kerana segala kejayaan tidak boleh berlaku dalam sekelip mata saja," titah baginda.

“Saya juga turut memberi dorongan, idea dan semangat kepada Tunku Ismail untuk menaikkan mutu bola sepak di negeri ini. Alhamdulillah, ia sedikit sebanyak sudah menunjukkan hasil dalam masa yang agak singkat dan berharap ia akan terus menunjukkan prestasi yang memberangsangkan pada masa depan,” titah baginda.

Mengulas mengenai tindakan yang bakal dikenakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke atas Tunku Mahkota Johor kerana mengkritik mutu pengadilan, Sultan Ibrahim bertitah bahawa baginda akan akur dengan keputusan FAM.

Baginda menitahkan anakandanya, Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) supaya akur dengan hukuman yang bakal diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini. 

Ini kerana baginda tidak mahu FAM membuat keputusan ‘double standard’ (pilih kasih) terhadap kes yang membabitkan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor yang sebelum ini lantang mengkritik mutu pengadilan dalam saingan Liga Malaysia. 

"Tunku Mahkota Johor sendiri ada menghadap sembah kepada saya memberitahu mengenai perkara ini. Saya terima dengan hati terbuka malah tidak mahu berlaku "double standard" walaupun dia anakanda saya.

“Tunku Mahkota akur dengan apa saja keputusan akan dibuat FAM. Malah, saya sendiri pun akur dan tidak memihak kepada mana-mana pihak. 

“Saya ‘neutral’ (berkecuali). Saya rasa Tunku Mahkota pun akan menerimanya dengan hati yang terbuka dan langsung tidak timbul isu berkecil hati dan sebagainya,” titah baginda pada sidang media di Istana Pasir Pelangi di Johor Bahru, semalam. 

Selepas mengharungi sembilan perlawanan, pasukan Johor Darul Takzim kini menungguli carta Liga Super dengan 16 mata manakala Johor FA menghuni tangga ketiga dalam Liga Perdana dengan jumlah pungutan mata yang sama.