Social Icons

SULTAN JOHOR TERIMA MENGADAP GABUNGAN NGO PELBAGAI KAUM


JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat ke majlis santapan pagi bersama wakil pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini di perkarangan Istana Pasir Pelangi, di sini.

Kira-kira 600 orang mewakili pelbagai kaum dan agama hadir pada majlis itu.

Terdahulu, baginda menerima ucapan daripada wakil NGO yang mewakili kaum Melayu, Cina dan India yang diwakili Ketua Penerangan Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (GABUNG), Abdullah Md Yusof, Presiden Persekutuan Tiong Hua Johor Bahru, Lim Ik Kim dan Pengarah Yash Build Construction Sdn Bhd, S Suppayah.

Ucapan menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim itu adalah sebagai penghargaan terhadap baginda yang sentiasa bersikap berjiwa rakyat dan berkenan mengurniakan pingat kepada wakil-wakil NGO di negeri ini.

Dengan diketuai Abdullah, kesemua wakil NGO terbabit kemudian berdiri melafazkan ikrar taat setia kepada Sultan Ibrahim sebagai tanda menyatakan sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada baginda.

Mereka kemudian menyerahkan skrol kepada Sultan Ibrahim yang mengandungi 20,000 tandatangan rakyat di negeri ini yang dikumpulkan sejak Jun tahun lalu bagi melambangkan sokongan terhadap baginda.

Sementara itu, Abdullah yang ditemui pemberita berkata majlis santapan itu merupakan jemputan daripada Sultan Ibrahim sendiri yang sekali gus adalah satu penghormatan kepada NGO di negeri ini.

"Majlis seumpama ini jelas mengeratkan hubungan pelbagai kaum dan masyarakat di negeri ini dengan kita mahu buktikan bahawa NGO di negeri ini sentiasa berdiri teguh bersama Sultan Johor. Jadi, adalah silap kalau ada orang mengatakan bahawa rakyat Johor tidak sayangkan tuanku kerana tuanku adalah tunjang negeri ini," katanya.

Suppayah dan Lim pula berkata, masyarakat India dan Cina di negeri ini gembira dengan kepimpinan yang ditunjukkan Sultan Johor dan berharap negeri ini sentiasa aman, makmur serta bertambah maju di bawah naungan baginda.
- BERNAMA

Gambar Ihsan darulehsantoday.blogspot.com