SINGAPURA: Kedudukannya di bumi asing, tidak menghalang imam Masjid Temenggong Daeng Ibrahim dekat Telok Belangah di sini, mengekalkan tradisi sejak 167 tahun lalu, membacakan Khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Mufti Johor, lengkap dengan doa untuk Sultan dan rakyat Johor.
Keadaan itu membuatkan jemaah yang pertama kali menjejak kaki bersolat Jumaat di masjid yang terletak berhampiran kota hiburan Pulau Sentosa, itu pasti tertanya-tanya mengenai pengurusannya yang mempunyai ciri sama dengan masjid lain di Johor.
Berhampiran pintu masuknya, bendera Johor dan Jalur Gemilang berkibar megah pada dua tiang yang didirikan, bukti pengurusan masjid yang dibina sejak 1845 itu hingga kini masih di bawah kelolaan Jabatan Agama Johor (JAJ) menyebabkan khutbah Jumaat dan doa yang disampaikan tertakluk kepada Jabatan Mufti Johor.
Malah, enam kakitangan tetap masjid membabitkan imam serta bilal, dua noja, penjaga makam serta tukang kebun adalah rakyat Johor yang dihantar bertugas sepenuh masa oleh Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan tinggal di kuarters di situ.
Masjid terletak atas kawasan seluas 0.7 hektar itu juga menempatkan Makam Diraja Telok Belangah dengan 32 makam kerabat diraja Johor zaman silam termasuk Sultanah Khadijah Khanum, Temenggong Abdul Rahman dan Temenggong Daeng Ibrahim selain mempunyai 2,000 kubur lama.
Kunjungan ke Masjid Temenggong Daeng Ibrahim pada Jumaat lalu, mendapati hampir 1,000 jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan dengan khutbah dan doa dibacakan Imam Suhaimi Sulaiman, 24, yang dihantar menyandang jawatan itu sejak November lalu.
Pengerusi masjid, Mohd Azman Mohsin, berkata kedudukan di Jalan Telok Belangah membuatkan masjid itu dijadikan lokasi persinggahan rakyat Malaysia yang berkunjung atau bekerja di Singapura.
“Setiap kali masuk waktu solat, azan dikumandangkan dan biasanya pada waktu Zuhur dan Maghrib, masjid ini dipenuhi penduduk tempatan. Selain solat Jumaat, masjid ini juga menyediakan kelas pembelajaran al-Quran,” katanya.
Katanya, sejarah masjid terbabit bermula ketika zaman Kesultanan Johor di Singapura apabila Temenggong Daeng Ibrahim, menyerahkan Balairung Seri istana baginda untuk dijadikan masjid pada 1845.
“Masjid itu asalnya hanya dikenali sebagai Masjid Kampung Telok Belangah sebelum bertukar nama kepada Masjid Jamek Kerajaan Negeri Johor yang turut dikenali sebagai Masjid Telok Belangah.
“Selaras peredaran masa, masjid asalnya dirobohkan pada 1993 untuk pembinaan baru dengan kos RM2.5 juta dibiayai sepenuh Almarhum Sultan Iskandar yang menitahkan supaya ciri masjid Johor dikekalkan dalam seni binanya.
“Masjid baru siap pada 1996 dinamakan Masjid Temenggong Daeng Ibrahim berupaya memuatkan 1,500 jemaah pada satu masa, ” katanya.
Mohd Azman yang juga Kadi Johor Bahru, berkata mimbar asal masjid berusia 143 tahun dipindahkan ke Johor pada 1991 dan ditempatkan di Galeri Pusat Islam Iskandar di Johor Bahru dengan tiangnya tercatat tarikh mimbar itu disiapkan pada 1289 Hijrah, bersamaan 1868 masihi.