Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibrahim memeriksa barisan kehormat di Majlis sambutan ulang tahun ke-49 Rejimen Gerak Khas di Kem Iskandar, sebentar tadi. Gambar: Hj Abd Latif Bin Hj Bandi |
MERSING, 28 Ogos (Bernama) -- Anggota komando Rejimen Gerak Khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diingatkan agar tidak lalai dan leka dengan keamanan yang dikecapi negara ketika ini, titah Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar.
Baginda yang juga Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas bertitah, perubahan lanskap geostrategik serantau dan global yang kian kompleks ketika ini boleh mengancam keselamatan negara secara tidak langsung.
"Ancaman keselamatan ini bukan sahaja mengugat ketenteraman awam, malahan turut mengancam keutuhan wilayah dan kedaulatan negara. Situasi ini boleh bertukar bila-bila masa dan ia menguji tahap kesiapsigaan serta sistem keselamatan dan pertahanan negara."
"Oleh itu saya menyeru saudara sekalian supaya sentiasa bersedia," titah baginda dalam teks ucapannya yang dibacakan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibrahim pada sambutan ulang tahun ke-49 Rejimen Gerak Khas di Kem Iskandar pada Khamis.
Sultan Johor juga bertitah mahukan usaha pemodenan Rejimen Gerak Khas dengan pelbagai peralatan moden diteruskan walaupun berdepan beberapa kekangan.
Ini kerana menurut baginda, Rejimen Gerak Khas merupakan sebuah angkatan yang mempunyai nilai yang amat strategik kepada pertahanan negara.
"Saya mengharapkan kepimpinan tertinggi Tentera Darat meneruskan usaha pembangunan Rejimen ini. Janganlah dianaktirikan Rejimen ini. Rejimen ini perlu dilengkapkan dengan peralatan moden setanding dengan negara-negara jiran," titah baginda.
Modal insan, aset dan doktrin Rejimen Gerak Khas menurut baginda perlu berada di tahap pengoperasian tertinggi demi menjamin kesiapsiagaan dan kemampuan tempurnya.
Baginda juga menasihatkan kepimpinan dan anggota Rejimen Gerak Khas supaya tidak terlalu asyik dengan kegemilangan lampau, sebaliknya terus membangunkan keupayaan dan memperkasa imej serta meningkatkan keyakinan rakyat.
Menurut Sultan Johor, sebagai anggota Gerak Khas, tanggungjawab mereka adalah besar dengan setiap langkah diperhatikan oleh masyarakat.
Kepada pemimpin dan pemerintah Rejimen Gerak Khas pula, titah baginda, mereka perlu memantau segala perkembangan sekitar dengan lebih teliti dan mencari kaedah terbaik dalam usaha untuk meningkatkan keberkesanan organisasi.
"Saudara diingatkan jangan takut membuat perubahan atau membuat keputusan. Saudara harus yakin dengan apa yang diputuskan atau dilakukan demi kepentingan Gerak Khas," titah baginda.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment