Pegawai Daerah Muar, Abdul Rahman Dewan berkata, pada monumen itu terdapat empat gading gajah yang di atasnya ada kubah masjid dan dilengkapi dengan tulisan ‘Daulat Tuanku’.
"Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum ini pernah bertitah mengumumkan untuk menjadikan Muar sebagai Bandar Diraja pada sambutan Maulidur Rasul, 5 Februari lalu. (Click)
“Berikutan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah dipertanggungjawabkan untuk membuat reka bentuk monumen ini dan dipersembahkan kepada tuanku.
“Selepas mendapat perkenan tuanku, kerja-kerja pembinaan dilakukan sejak sebulan lalu dan kini sudah siap sebanyak 95 peratus,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Abdul Rahman berkata, monumen yang mendapat pembiayaan sepenuhnya daripada kerajaan negeri itu turut dilengkapi dengan air pancut dan lampu warna-warni yang akan mencantikkan lagi daerah ini pada waktu malam.
“Monumen ini dibina di bulatan Sulaiman berhampiran Jalan Temenggung Ahmad adalah lokasi yang strategik dan boleh dilihat seluruh penduduk daerah Muar.
“Ia pastinya akan menjadi kebanggaan masyarakat Muar kerana telah mempunyai identiti tersendiri iaitu gading gajah berbanding sebelum ini lebih dikenali sebagai Bandar Maharani,” katanya.
Abdul Rahman berkata, keunikan seni bina monumen tersebut dijangka akan menjadi salah satu tarikan pelancongan daerah ini kepada masyarakat luar pada masa akan datang.
Pada masa yang sama, beliau meminta orang ramai agar tidak melakukan kerosakan pada monumen mercu tanda ini yang akan berfungsi sepenuhnya tidak lama lagi.
Salah seorang penduduk, Hisham Ahmad, 30, berkata, sememangnya dia berasa bangga apabila daerah ini mempunyai monumen tersebut yang menjadikan daerah Muar berbeza berbanding daerah lain.
“Pada mulanya saya tertanya-tanya rupa reka bentuk monumen ini dan apabila melihatnya berasa terkejut kerana ia sangat cantik.
“Sebelum ini, ada rakan-rakan yang datang ke daerah ini sering mengatakan tiada kelainan yang terdapat di sini. "Jadi dengan adanya monumen mercu tanda Bandar Diraja dapat mempelbagaikan keunikan daerah Muar,” katanya.
No comments:
Post a Comment