JOHOR BAHRU 10 Julai - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar (gambar) menasihatkan pihak berkuasa tempatan dan para peniaga di negeri ini bersama-sama menjaga kebersihan di tapak jualan bazar Ramadan.
Baginda yang mencemar duli meluangkan masa hampir setengah jam di bazar Ramadan di Larkin di sini hari ini memahami masalah penjagaan kebersihan namun berharap dapat dikawal secara bersama.
"Bila ada majlis-majlis begini memang ada sampah sikit, saya harap pihak berkuasa dan peniaga dapat bersama-sama menjaga kebersihan.
"Setiap tahun saya pergi ke bazar dan esok saya akan ke Kluang pula serta daerah-daerah lain," titah baginda.
Sultan Ibrahim turut mencemar duli dengan melawat gerai-gerai jualan di bazar tersebut selain turut membeli pelbagai juadah berbuka puasa.
Sementara itu, peniaga kuih, Raja Kalsum Raja Aziz, 56, berkata, dia tidak menyangka dapat bertemu Sultan Johor pada hari pertama puasa tahun ini.
"Rasa gembira sangat kerana baginda turut berkenaan membeli juadah saya meskipun yang tinggal hanyalah kuih bakar pandan," katanya.