Social Icons

Showing posts with label DUN Johor. Show all posts
Showing posts with label DUN Johor. Show all posts

Fungsi Dewan Negeri Johor


DEWAN Negeri Johor terdiri daripada Sultan sebagai Ketua Negeri, seorang Speaker dan Ahli-ahli Dewan Negeri yang terdiri daripada ahli-ahli politik yang menang dalam pilihan raya.

Berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1895 Bahagian 2 Fasal 26, pembukaan rasmi Dewan Negeri Johor dilakukan oleh Sultan pada setiap pertengahan tahun. Pada upacara pembukaan ini, Sultan menyampaikan ucapan serta perutusan dalam Dewan Negeri.

Kesemua Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan. Kesemua Exco, termasuk Menteri Besar, yang juga sebahagian daripada Ahli Dewan Negeri, adalah atas lantikan Sultan.

Keanggotaan Ahli-ahli Dewan Negeri akan kekal selama lima tahun sekiranya Dewan Negeri tidak dibubarkan dalam tempoh berkenaan. Sultan mempunyai kuasa untuk membubarkan Dewan Negeri. Apabila Dewan Negeri dibubarkan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam jangka masa 60 hari dari tarikh pembubaran.

Dewan Negeri yang baru akan dipanggil untuk mengadakan mesyuarat pada satu tarikh yang tidak lewat daripada 90 hari dari tarikh berkenaan. Jika sesebuah kerusi dikosongkan secara mengejut, tempoh dua bulan diberikan untuk mengisi kekosongan berkenaan seperti yang termaktub dalam Bahagian 2 Fasal 23: “Sesebuah kerusi yang kosong dengan mengejut itu hendaklah diisikan dalam tempoh 60 hari dari tarikh berlakunya kekosongan itu.”


Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah Tetap 7(1) menetapkan segala mesyuarat Dewan Negeri diadakan sebanyak empat kali setahun, sementara mesyuarat Dewan Negeri di dalam satu-satu penggal persidangan itu hendaklah diadakan pada  hari dan waktu sebagaimana yang ditetapkan oleh Speaker.

Seseorang Ahli Dewan Negeri boleh, pada masa yang sama, memegang jawatan sebagai ahli Dewan Rakyat. Sebelum memegang sebarang kerusi dalam Dewan Negeri, setiap Ahli Dewan Negeri diwajibkan mengangkat sumpah di hadapan Speaker. Ahli Dewan Negeri dikehendaki bersumpah dan berjanji bahawa mereka akan menjalankan tugas-tugas sebaik mungkin dan berikrar taat setia kepada Negeri dan Negara, sekali gus mematuhi, menjaga dan mempertahankan Perlembagaan Negara.

Segala Rang Undang-undang atau Bil yang telah diluluskan oleh Dewan Negeri akan ditandatangani oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan akan menjadi undang-undang setelah disiarkan dalam Warta Kerajaan.


Fungsi lain Dewan Negeri adalah: 
  • Persidangan Dewan Negeri
  • Memilih Speaker.
  • Membahaskan titah Ucapan Sultan.
  • Pemasyhuran daripada Speaker.
  • Membawa usul-usul untuk dibahaskan, sama ada untuk diterima atau ditolak.
  • Membawa rayuan-rayuan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Negeri setelah disahkan oleh Speaker.
  • Mengemukakan pertanyaanpertanyaan kepada Menteri Besar berhubung hal-hal yang termasuk dalam urusan jabatan rasminya.
  • Memberi peluang kepada Ahli Dewan Negeri untuk menyampaikan ucapan puji-pujian, ucapan takziah atau memberi penerangan sendiri.
  • Memberi peluang kepada Menteri Besar untuk memberikan penjelasan.

Persidangan Dewan Negeri
Dewan Negeri yang hendak bersidang mestilah mempunyai bilangan Ahli mengikut jumlah kawasan Dewan Undangan Negeri (56 bagi penggal sekarang), yang termasuk seorang Speaker, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) dan Ahli Dewan Negeri.

Perjalanan Dewan Negeri Johor adalah tertakluk kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1895 dan Peraturan- Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Johor.

Mengikut Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap 5, Persidangan Dewan Negeri Johor dijalankan dengan menggunakan Bahasa Melayu. Johor adalah satu-satunya negeri yang tidak menggunakan perkataan ‘Undangan’ pada Dewan Undangan Negeri kerana sudah tertakluk di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1895 bahawa hanya istilah Dewan Negeri digunakan.

Persidangan Dewan Negeri turut dihadiri oleh ketua-ketua jabatan dan Ex-Officio yang terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-undang dan Pegawai Kewangan.

Peranan Ahli Dewan Negeri ketika persidangan berlangsung ialah menyuarakan pendapat, membangkitkan perkara-perkara yang mempunyai kepentingan awam atau berbincang secara terbuka mengenai isu-isu yang menjadi tumpuan, rungutan atau masalah rakyat.

Pembentangan Belanjawan Negeri Johor diadakan pada penghujung tahun sebagaimana yang dijadualkan.

Fungsi Speaker Dewan
Mengikut Bahagian 2 Fasal 24(1A) dan 24(1B), Speaker Dewan Negeri boleh dipilih sama ada di kalangan Ahli Dewan Negeri atau bukan Ahli Dewan Negeri.

Selain berperanan mengetuai persidangan, Speaker juga bertanggungjawab mengawal perjalanan mesyuarat dan membuat keputusan atas apa-apa isu yang dibangkitkan di dalam dewan oleh Ahli Dewan Negeri.

Fungsi Jurutulis
Jurutulis bertindak sebagai ketua kepada urus setia persidangan Dewan Negeri. Berbeza dengan negeri-negeri lain yang menggunakan gelaran Setiausaha Dewan sebagai setiausaha mesyuarat, pelaksana tugas yang sama untuk Dewan Negeri Johor ialah Jurutulis atau Penolong Jurutulis.

Sebelum persidangan Dewan Negeri dimulakan, Jurutulis akan menghantar surat pemberitahuan mesyuarat kepada Ahli Dewan Negeri sekurang-kurangnya genap 21 hari dari hari persidangan hendak diadakan.

Walaupun begitu, jika terdapat perkara yang perlu disegerakan, surat pemberitahuan mesyuarat akan dihantar seberapa segera yang boleh.

Jurutulis juga bertanggungjawab menerima soalan lisan daripada Ahli Dewan Negeri yang akan dikemukakan dalam persidangan, mendapatkan jawapandaripada ketua-ketua jabatan berkaitan perkara yang memerlukan penjelasan serta rundingan, usul dan ucapan penangguhan daripada Ahli Dewan Negeri.

Selain itu, Jurutulis juga menjadi setiausaha kepada tiga Jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah kuasa Dewan Negeri.

Jawatankuasa-jawatankuasa yang ada pada masa ini adalah:
  • Jawatankuasa Kira-Kira Raya.
  • Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
  • Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri.

'Beri kerjasama sepenuhnya kepada MB baru' - Sultan Johor


JOHOR BAHRU, 15 Ogos 2013 - Sebentar tadi baru sahaja selesai upacara perasmian DUN Johor bagi penggal pertama DUN ke 13. Perasmian disempurnakan oleh DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. Majlis ini dihadiri oleh Menteri Besar, Dato Seri Hj. Mohamed Khaled Nordin Johor, EXCO-EXCO, semua ADUN Johor dan Ketua-ketua Jabatan.

Dalam majlis perasmian tersebut, Sultan Ibrahim bertitah penuh dengan makna tersirat dan tersurat bagi mereka yang ingin memahami dan mengambil berat titah Tuanku. Tapi bagi insan-insan dungu yang tidak mahu ambil tahu, sampai bila-bila akan buat bodoh sahaja.

Sultan Ibrahim amat prihatin dan sangat mengambil berat mengenai isu-isu Johor. Tuanku bukanlah campur tangan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Johor, tetapi sebagai Ketua Kerajaan Negeri Johor dan selaku Sultan, baginda amat  peka sebarang perkembangan hal ehwal negeri Johor. 

Antara titah ucapan Sultan Ibrahim yang menarik, Tuanku bertitah bahawa kini telah bermulanya era pentabiran MB Johor yang baru. Johor kini dipimpin oleh Dato Seri Hj. Mohamed Khaled Nordin. Disamping itu Tuanku turut bertitah supaya semua ahli DUN Johor memberi kerjasama sepenuhnya kepada beliau.


MASA UNTUK BEKERJA
Baginda juga bertitah bahawa masa untuk berkempen politik telah tamat, kini tiba masanya ADUN yang dipilih bekerja untuk rakyat yang mengundi mereka. Turut disentuh Tuanku, wakil rakyat perlulah menjadi contoh kepada rakyat dan menjaga tingkah laku serta imej sebagai seorang pemimpin dan menjalankan tugas dengan tanggungjawab dengan mengutamakan rakyat berbanding peribadi mahupun parti politik. 

Baginda turut meminta semua yang hadir mengekalkan keharmonian dan perpaduan yang ada di Negeri Johor. Atas alasan itu, baginda telah melantik 3 wakil bangsa Johor dalam Jemaah mesyuarat Johor selepas PRU 13.

"Masa untuk kempen politik sudah selesai dan sekarang adalah masa untuk bekerja. Suara dan kehendak rakyat haruslah disalur dengan betul dan tertib bukannya dengan cara protes yang biadab atau menganjurkan demonstrasi jalanan. 

"Semua rakyat Johor pula teruskan hidup bersatu padu demi menjaga keamanan negeri. Janganlah membangkitkan isu agama dan perkauman sensitif yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat," tegas baginda.


PEMBANGUNAN EKONOMI JOHOR
Paling menarik baginda turut menyentuh mengenai kepesatan pembangunan ekonomi Johor, baginda berharap kerajaan mengkaji semula projek-projek penswastaan yang tidak berjalan dengan lancar dan dan meneliti perjanjian yang tidak menguntungkan supaya kerajaan negeri bebas daripada hutang dan mempunyai sumber kewangan yang kukuh. 

Baginda bertitah peranan dan tujuan anak-anak syarikat kerajaan negeri juga perlu disusun semula supaya selaras dengan dasar kerajaan selain mengelakkan kerugian serta pembaziran sumber kewangan kerajaan. 


RUMAH UNTUK RAKYAT
Tuanku turut mendesak supaya kerajaan lebih prihatin dan berusaha membantu rakyat memiliki rumah mampu milik baginda juga turut menyeru supaya pemaju hartanah lebih prihatin dan tidak hanya memfokuskan keuntungan dengan menetapkan harga hartanah yang tinggi yang hanya dapat menarik perhatian pembeli asing.

"Kerajaan perlu bertindak membantu rakyat memiliki rumah yang sesuai dengan kemampuan manakala pihak pemaju pula janganlah terlalu tamak untuk mengaut keuntungan dengan meletakkan harga yang terlalu tinggi hanya untuk menarik pasaran daripada pembeli warga asing. 

"Kadar pelaburan yang tinggi di negeri sepatutnya meningkatkan taraf hidup rakyat dengan pekerjaan lebih baik dan kehidupan selesa, tetapi malangnya kehidupan rakyat menjadi semakin tertekan dengan kos sara hidup yang meningkat dan harga rumah yang melambung tinggi," titah baginda sambil menambah bahawa kerajaan negeri perlu mengenal pasti skim perumahan yang sesuai untuk penghuni setinggan bagi membolehkan mereka berpindah dari tanah milik kerajaan negeri.

Baginda juga bertitah kerajaan negeri juga perlu mengambil langkah-langkah yang berkesan dan tegas dalam menangani isu setinggan memandangkan isu itu masih tidak dapat diselesaikan setelah lebih 50 tahun merdeka kerana kerajaan terlalu berlembut dalam mengambil tindakan. 


HENTIKAN PENGURNIAAN TANAH
Baginda juga turut menitahkan supaya kerajaan negeri menghentikan dasar mengurniakan tanah kepada peneroka tanah kerajaan atau rizab hutan. Dasar kurniaan tanah itu seolah-olah memberi keistimewaan kepada penceroboh dan tidak berlaku adil kepada rakyat yang patuh kepada undang-undang.

"Pemantauan tegas oleh Pejabat Tanah perlu dilakukan memandangkan pengurniaan tanah terbabit akan mengakibatkan pencerobohan tanah berlaku secara berterusan dan dijadikan isu politik menjelang pilihan raya untuk menuntut hak milik tanah," titah baginda. 


ALAM SEMULA JADI
Bagi menjaga alam semula jadi, Sultan Ibrahim mencadangkan kerajaan supaya mengkaji semula dasar pemberian kuota pembalakan dan segala aktiviti pembalakan di negeri ini boleh dihentikan jika perlu. 

Sultan Johor bertitah kedudukan rizab Orang Asli juga perlu dikaji daripada segi kesesuaiannya kerana didapati ada kawasan rizab tersebut telah diteroka dan ditanam dengan kelapa sawit dan getah. 

Titah baginda, Orang Asli juga tidak boleh membuat tuntutan yang bukan-bukan kepada kerajaan atas dasar tanah pusaka dan sebagainya kerana kerajaan telah banyak memberikan bantuan dan menyediakan kemudahan kepada mereka bagi mengubah nasib kehidupan. 

Sultan Ibrahim juga meminta kerajaan bersikap tegas terhadap pengawalan bilangan pelawat yang dibenarkan memasuki kawasan Taman Negara Gunung Ledang, Endau-Rompin dan kepulauan Mersing supaya khazanah alam tidak terhapus akibat kebanjiran pelawat. 

Baginda yang turut mengisytiharkan Taman Negara Kepulauan Mersing kini dikenali sebagai 'Taman Laut Sultan Iskandar' mahu satu jawatankuasa ditubuhkan bagi mengawal selia aktiviti laut di kepulauan berkenaan.